Politik Sabah bergolak ketika Covid-19 melanda

Musa mendakwa mempunyai sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan negeri, namun Yang di-Pertua Negeri Sabah memilih untuk membubarkan DUN setelah bertemu dengan Mohd Shafie.
Musa mendakwa mempunyai sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan negeri, namun Yang di-Pertua Negeri Sabah memilih untuk membubarkan DUN setelah bertemu dengan Mohd Shafie.
A
A
A

SABAH selama ini memang tidak pernah sepi dilanda persengketan politik. Wakil rakyatnya dengan sesuka hati melompat daripada satu parti ke parti. Biarpun coronavirus (Covid-19) melanda, suasananya tetap panas dan genting.

Baru-baru ini, kerajaan Negeri Di bawah Bayu ini hampir tumbang. Usaha bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan Tan Sri Mohd Shafie Apdal bagaimanapun terhalang.

Musa mendakwa mempunyai sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan negeri namun Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin memilih untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri setelah bertemu dengan Shafie.

Pengalihan kuasa yang dirancang oleh Musa dan wakil-wakil rakyat yang menyokongnya digagalkan oleh Shafie yang lebih bertindak dengan cepat.

Ramai pihak yang rasa lega dengan perkembangan ini yang bersetuju bahawa kuasa sesebuah kerajaan sepatutnya diserahkan kepada rakyat, bukan segelintir ahli politik yang mempunyai kepentingan peribadi.

Wakil-wakil rakyat ini sepatutnya tidak sesuai menjadi Yang Berhormat. Mereka lebih gemar lompat parti dan tidak hairanlah mereka digelar 'katak'.

Wakil-wakil rakyat ini patut dikecam dan dikutuk. Mereka bukan sahaja memikirkan kepentingan diri sendiri, tetapi juga telah membelakangi amanah rakyat yang diberikan kepada mereka.

'Katak-katak' ini tidak ada prinsip dalam perjuangan mereka. Mereka dipercayai telah dibeli dengan wang ringgit. Akibatnya, rakyat yang menjadi mangsa kerana telah tertipu dengan janji-janji manis.

Artikel Berkaitan:

Pertubuhan antirasuah Transparency International-Malaysia (TI-M) sendiri turut hairan dengan perkembangan yang berlaku di Sabah itu.

Kata Presiden TI-M, Muhammad Mohan, apa yang berlaku di Sabah itu terjadi secara tiba-tiba dan rasa aneh kerana sebuah parti yang menguasai dua pertiga dewan undangan negeri menyaksikan sebahagian besar wakil rakyatnya mengalih sokongan kepada pembangkang.

Dalam tempoh 60 hari akan datang, pengundi Sabah akan keluar mengundi lagi memilih kerajaan yang baharu. Namun apa perlu diawasi ialah penularan Covid-19 masih berada di tahap yang membimbangkan.

Semua pihak perlulah melakukan penjagaan yang selamat agar Covid-19 tidak akan mengganggu kelancaran Pilihan Raya Negeri Sabah kali ini. Biarlah rakyat Sabah dapat mengundi dengan tenang dan memilih sebuah kerajaan yang benar-benar berprihatin kepada nasib rakyat.