'Kami dah penat mengadu'

Salah satu bekas lombong yang dipercayai telah dipagar oleh peneroka haram bagi menghalang nelayan darat menangkap ikan di kawasan Sungai Galah. Gambar kecil: Suhaimi
Salah satu bekas lombong yang dipercayai telah dipagar oleh peneroka haram bagi menghalang nelayan darat menangkap ikan di kawasan Sungai Galah. Gambar kecil: Suhaimi
A
A
A

[LAPORAN KHAS] IPOH - Selain kawasan Sungai Galah, bekas-bekas lombong di sekitar Malim Nawar dan Tanjung Tualang dalam daerah Kampar turut dirampas peneroka haram bagi tujuan penternakan dan pertanian.

Keadaan itu menyebabkan semakin ramai nelayan darat meninggalkan pekerjaan tersebut malah yang masih tinggal pula terpaksa berdepan pelbagai ancaman.

Seorang nelayan darat, Suhaimi Johari, 44, berkata, kebanyakan nelayan tertekan dan tidak mampu berdepan keadaan serta terpaksa akur dengan peneroka haram kawasan bekas lombong di sekitar Kampar.

Katanya, keadaan tersebut turut memaksa sebahagian nelayan menceroboh kawasan peneroka haram itu untuk mengambil ikan tanpa menghiraukan risiko yang dihadapi.

"Kami sebenarnya dah putus asa sebab setiap kali aduan dibuat tak ada penyelesaian. Memang kami penat dan terus dipinggirkan. Kami mahu hak kami untuk mencari rezeki yang halal diberi keutamaan.

"Semua bantuan yang diberikan kerajaan hanyalah bersifat sementara dan menyelesaikan masalah dalam jangka masa pendek. Apa yang paling penting adalah meneruskan pekerjaan sebagai nelayan darat," katanya.

Menurut Suhaimi, di Kampar hanya terdapat satu kawasan bekas lombong yang diwartakan untuk tujuan perikanan darat.

Bagaimanapun katanya, kawasan yang diwartakan terlalu kecil iaitu tidak sampai empat hektar sekali gus tidak mampu menampung keperluan nelayan-nelayan darat di sekitar Kampar.

Artikel Berkaitan:

Seorang lagi nelayan darat kawasan tersebut, Asyraf Abidin, 31, berkata, isu pencerobohan kawasan bekas lombong pernah dibangkitkan sebelum ini dalam sesi dialog bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Tualang Sekah, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi pada tahun 2014.

Katanya, ketika itu, sebuah Badan Bertindak Kampung Malim Nawar ditubuhkan untuk menjadi juara terhadap isu-isu yang dihadapi oleh nelayan darat di situ.

Hasil daripada desakan itu, kerajaan negeri telah meluluskan empat kawasan bekas lombong dijadikan sebagai perairan umum untuk nelayan darat di kawasan Kampar dan sekitarnya menambah sumber pendapatan sedia ada.

Namun menurut Asyraf, lokasi yang diberikan kerajaan negeri terlalu jauh dan berada di kawasan perairan daerah lain dan hanya satu berada di dalam daerah Kampar.