Gengster diupah jaga bekas lombong

Laluan masuk utama ke kawasan bekas tanah lombong turut dikunci bagi menghalang nelayan darat masuk ke kawasan itu untuk menangkap ikan.
Laluan masuk utama ke kawasan bekas tanah lombong turut dikunci bagi menghalang nelayan darat masuk ke kawasan itu untuk menangkap ikan.
A
A
A

[LAPORAN KHAS] IPOH - Berpuluh-puluh bekas lombong di negeri Perak diceroboh secara haram untuk tujuan pertanian dan penternakan sehingga mengancam sumber pendapatan nelayan air tawar yang bergantung hidup mencari rezeki dengan menangkap ikan di kawasan itu.

Lebih menyakitkan hati, pengusaha haram berkenaan ibarat kaduk naik junjung apabila semakin bermaharajalela dengan mengupah kumpulan gengster untuk menjaga kawasan bekas lombong tersebut daripada dimasuki orang ramai.

Di Perak, bekas lombong menjadi kawasan perairan penting bagi perikanan darat kerana jumlah pendaratan ikan air tawar di negeri ini yang kedua terbesar selepas sungai iaitu sebanyak 337 metrik tan pada tahun 2018.

Tiga daerah utama yang mempunyai kawasan bekas lombong di Perak ialah Kampar, Batang Padang dan Perak Tengah.

Nelayan darat di Sungai Galah kini berdepan dilema untuk mencari rezeki berikutan penerokaan haram yang dilakukan pihak tidak bertanggungjawab menyebabkan kawasan pencarian ikan terhad.
Nelayan darat di Sungai Galah kini berdepan dilema untuk mencari rezeki berikutan penerokaan haram yang dilakukan pihak tidak bertanggungjawab menyebabkan kawasan pencarian ikan terhad.

Bagi seorang nelayan darat, Nurul Azmi Mohamed Daud, 34, pencerobohan haram kawasan bekas lombong bukanlah perkara baharu namun kini menjadi lebih serius sejak tahun lalu.

Katanya lagi, bayangkan di kawasan Sungai Galah di daerah Perak Tengah, daripada 20 bekas lombong yang ada di kawasan itu, hanya lima bekas lombong yang boleh digunakan dan selebihnya sudah diduduki peneroka haram selain terdapat lombong yang dipenuhi tumbuhan parasit seperti keladi bunting.

Katanya, terdapat juga pengusaha haram sewenang-wenangnya memagar kawasan bekas lombong untuk dijadikan kawasan ternakan ikan sekali gus menafikan hak nelayan darat untuk menangkap ikan.

Artikel Berkaitan:

"Jika dahulu, nelayan darat mampu mendapat pendapatan purata sebulan RM2,000 lebih tetapi sekarang kami hanya dapat lebih kurang RM700 sebulan. Bayangkan betapa susutnya pendapatan kami disebabkan sumber ikan yang semakin berkurang akibat penerokaan haram kawasan bekas lombong.

"Dalam satu-satu masa 15 hingga 20 nelayan darat akan turun ke kawasan bekas lombong ini mencari ikan, apabila jumlah kawasan penangkapan terhad, ikan pun jadi kurang dan pendapatan nelayan jadi sedikit," katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, bukan sahaja pendapatan nelayan semakin berkurangan, keselamatan nelayan darat juga terancam apabila kawasan-kawasan bekas lombong yang diteroka secara haram itu melibatkan kumpulan gengterisme.

Seorang nelayan darat, Roslan Abdul Rahman, 57, menunjukkan hasil tangkapan ikan patin yang diperoleh.
Seorang nelayan darat, Roslan Abdul Rahman, 57, menunjukkan hasil tangkapan ikan patin yang diperoleh.

Beliau berkata, mana-mana nelayan darat yang memasuki kawasan bekas lombong peneroka haram itu akan menerima amaran malah ada juga peralatan menangkap ikan dan bot yang hilang serta dirosakkan oleh individu yang tidak dikenal pasti.

"Saya sendiri pernah bergaduh malah ditampar oleh sekumpulan individu yang bertindak sebagai penjaga kawasan bekas lombong itu kerana mengatakan saya menceroboh kawasan mereka," katanya.

Seorang lagi nelayan darat, Najman Ibrahim, 55, berkata, peneroka haram mengambil jalan mudah menguasai bekas-bekas lombong kerana tidak perlu mengeluarkan modal besar untuk menternak ikan air tawar.

Dia yang bekerja sebagai nelayan sejak tahun 1998 berkata, berdasarkan pengalaman, setiap kawasan bekas lombong itu mampu menghasilkan kira-kira 40 tan ikan air tawar dalam satu-satu masa dan boleh dimanfaatkan oleh 30 hingga 40 nelayan darat.

Katanya, apabila peneroka haram menguasai lombong tersebut, mereka akan memperoleh hasil tangkapan dengan jumlah yang sama untuk beberapa individu sahaja.

"Kami melihat perkara ini bukan sahaja satu ancaman kepada nelayan darat tetapi kerugian kepada kerajaan negeri kerana peneroka haram tidak membayar sebarang hasil tetapi mengaut keuntungan sepenuhnya," kata beliau.