Pengajaran ibadah korban

A
A
A

CETUSAN kali ini saya ingin memanjangkan inti pati khutbah Aidiladha yang diterbitkan Jabatan Agama Islam Selangor berkaitan pengajaran ibadah korban.

Pertamanya, kita amat bersyukur kerana diberi peluang menunaikan solat sunat Aidiladha kerana ketika Aidilfitri, kita masih dilanda pandemik koronavirus (Covid-19) yang menyebabkan secara keseluruhan ramai yang tidak boleh bersolat.

Walaupun kita masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), Aidiladha tetap dirayakan dengan penuh disiplin mengikut prosedur operasi standart (SOP) ditetapkan dan kawalan kendiri.

Selagi belum ada vaksin, kita perlu mematuhi SOP. Perkara yang amat kita takuti adalah jika kita leka dan tidak mematuhi SOP, Covid-19 akan meningkat yang memungkinkan pemerintah memperkenalkan kembali 'lockdown'.

Ramai yang serik dan tidak mahu episod itu hadir kembali dalam kehidupan. Kita perlu berkorban untuk mengehadkan pergerakan dan terus menjalani kehidupan dalam PKPP termasuk dalam hal ehwal keagamaan.

Tahun ini kita menyambut Aidiladha dengan penuh ketakwaan dan kesyukuran. Kita sambut dengan bertakbir, solat sunat, mendengar khutbah dan menyembelih binatang korban.

Walaupun kaedah dan caranya terhad jika dibandingkan dengan sebelumnya, namun Aidiladha mengajar kita erti sebuah pengorbanan yang bersifat Taabudiah atau kepatuhan serta ketaatan yang tidak berbelah bagi.

Covid-19 adalah ujian untuk kita hadapi dengan tabah dan reda dengan ketentuan-Nya.

Artikel Berkaitan:

Ibadah korban adalah satu ekosistem kemasyarakatan yang berkait rapat dengan rangkaian kehidupan si kaya dan si miskin, kehidupan dan kematian serta pemupukan kehidupan bermasyarakat seterusnya. Lalu, kebaikan yang terserlah adalah terpaut eratnya hubungan persaudaraan antara masyarakat dan menanam semangat hidup berjemaah serta berkasih sayang.

Ibadah korban juga dapat mengajar dan mendidik kita bahawa berkorban adalah perkara yang memerlukan langkah serta strategi yang betul, berilmu pengetahuan dan tekad yang jitu untuk melaksanakannya.

Usaha bagi mengambil bahagian dalam ibadah korban memerlukan langkah-langkah yang memungkinkan ia dapat dilaksanakan setiap tahun. Tidak kira sama ada melakukan korban dengan satu bahagian atau lebih, di situlah hakikat ketakwaan yang panjang dan tidak pernah putus kepada ALLAH SWT.

Pengajaran yang besar dalam ibadah korban ialah menghayati dan mencontohi semangat pengorbanan Nabi Ibrahim A.S yang melaksanakan perintah ALLAH SWT untuk menyembelih anaknya.

Mengimbau pengorbanan Nabi Ibrahim A.S., umat Islam hendaklah tunduk dan patuh dengan melaksanakan apa-apa yang diperintah ALLAH SWT dan sentiasa ingat kepada ancaman ALLAH SWT jika tidak mematuhi perintah-Nya.

Pengorbanan

Setiap pengorbanan untuk mencari keredaan ALLAH SWT akan dibalas dengan kebaikan. Sebagai contoh, ALLAH SWT turunkan ujian besar dengan virus Covid-19, maka sudah tentu memerlukan pengorbanan dan kesabaran serta kepatuhan yang tinggi kepada ketetapan yang dibuat pemerintah atau ulil amri.

Berkorban untuk tidak melakukan yang biasa, sebaliknya hari ini sebarang langkah dan tindakan yang silap akan mengundang kesan berbahaya dan menjadi malang kepada orang lain, keluarga, masyarakat dan negara.

Alhamdulillah, dengan berkat tabah dan taat, maka ALLAH SWT hilangkan virus itu sedikit demi sedikit untuk kita jalani kehidupan dengan lebih baik dan ceria.

Bersatunya umat Islam adalah kekuatan paling dasar ke arah pembinaan Khaira Ummah (umat terbaik). Umat Islam berhak untuk berbeza pendapat, apalagi dalam soal urusan duniawi, namun umat Islam hendaklah terus bersatu.

Umat Islam hendaklah meyakini bahawa amalan ibadah korban adalah sesuatu yang menambah keyakinan bahawa hanya Islam sebagai cara hidup sahih atau Ad-Din di sisi ALLAH SWT.

Umat Islam wajib mensyukuri dan membesarkan ALLAH SWT setiap waktu, ikhlas, redha dan sabar serta mencontohi kesetiaan Nabi Ibrahim A.S. dalam mengutamakan pelaksanaan perintah ALLAH SWT.

*Profesor Datuk Dr Ismail Sualman ialah Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara