Ujian pertama pemain badminton negara minggu depan

No Image Caption
A
A
A

SETELAH empat bulan tanpa sebarang kejohanan susulan pandemik Covid-19, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akhirnya menganjurkan Kejohanan Jemputan BAM di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara minggu depan.

Pemain terbaik negara berpeluang menguji prestasi masing-masing setelah lama tidak berada di pentas pertandingan pada kejohanan pertama dianjurkan secara dalaman.

Kejohanan berkenaan diadakan berdasarkan format round-robin dan dibahagi kepada dua peringkat.

Peringkat pertama diadakan pada 5-8 Ogos, menyaksikan enam pemain pelapis perseorangan lelaki negara berentap merebut dua tempat teratas dalam Divisyen 2 untuk layak ke peringkat seterusnya.

Divisyen 1 pula dijadualkan pada 11-16 Ogos menyaksikan lima kategori membabitkan 52 pemain senior termasuk lapan pemain profesional turut bertanding dalam kejohanan berlangsung selama enam hari itu.

Bagaimanapun, kejohanan berkenaan berlangsung tanpa penonton namun beberapa perlawanan pilihan akan disiarkan secara langsung menerusi YouTube rasmi BAM iaitu @BA_Malaysia.

Sementara itu, Pengarah Kejurulatihan BAM Wong Choong Hann berkata, kejohanan berkenaan dapat mendedahkan pemain kepada pertandingan selepas menjalani latihan pemulihan selama dua bulan (untuk pemain di bawah program Road to Tokyo) dan kumpulan kedua pemain negara.

Katanya, kejohanan itu juga memberi peluang kepada pemain untuk mendapatkan kembali daya saing mereka dan bermain di bawah tekanan.

Artikel Berkaitan:

“Kejohanan ini adalah platform yang mewujudkan persekitaran tekanan tinggi dan mendorong pemain ke tahap yang lain kerana mereka akan menentang rakan sepasukan yang tahu gaya permainan mereka dengan baik.

"Tekanan akan dirasai beberapa pemain yang mahu mempertahankan status mereka manakala ada juga yang mahu mencipta kejutan dan mencipta nama. Ini semua tahap tekanan yang berbeza-beza. Kami mahu membentuk pemain yang tidak terjejas dengan tekanan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Choong Hann berkata, dalam kategori perseorangan lelaki, dibahagikan kepada dua divisyen kerana terdapat 12 pemain dengan setiap pemain bermain keseluruhan 11 perlawanan, sama seperti bermain dua perlawanan berturut-turut.

Hampir semua kejohanan antarabangsa dibatalkan sejak Mac lalu serta tiada kejohanan tempatan dibenarkan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac. - Bernama