X

Kindly register in order to view this article
!

Rukun Negara untuk semua

A
A

MALAYSIA merupakan sebuah negara yang penuh dengan kepelbagaian. Kepelbagaian tersebut mewujudkan kekayaan kepada masyarakat Malaysia tetapi pada masa yang membangkitkan isu-isu etnik, agama, bahasa, budaya dan perbezaan lain yang sering membelenggu kita.

Kita sentiasa mengurus konflik-konflik itu dalam masyarakat. Secara amnya, kita telah berjaya akan tetapi kemunculan media sosial telah membawa cabaran baharu dalam mengurus kepelbagaian kita.

Kita sering berpandangan bahawa undang-undang adalah ‘ubat’ yang dapat merawat kesemua ‘penyakit’ masyarakat. Kita rasa apa-apa isu atau konflik yang berbangkit mesti ditangani dengan undang-undang tetapi undang-undang hanya wajar digunakan dalam situasi seseorang itu melangkaui benteng terakhir batas tindak-tanduk dalam masyarakat.

Ini kerana melalui undang-undang, kerajaan akan campur tangan untuk menangani isu tersebut. Undang-undang itu juga boleh disalah guna oleh kerajaan. Oleh itu, undang-undang bukanlah jawapan kepada semua masalah kita.

Bagaimana boleh kita uruskan perbezaan dalam negara kita tanpa bergantung kepada undang-undang? Bagi saya, satu cara adalah dengan kembali kepada Rukun Negara.

Rukun Negara menggariskan aspirasi dan nilai-nilai kita sebagai rakyat Malaysia. Ia dapat memberi panduan kepada kita tentang bagaimana kita boleh menangani hubungan antara individu dalam masyarakat dan juga hubungan antara rakyat dengan negara.

Rukun Negara bukan undang-undang dan itulah sebab mengapa ia begitu sesuai dijadikan panduan.

Apabila berbincang tentang Rukun Negara, ramai yang hanya menghafal Bahagian II dokumen tersebut. Namun demikian, Bahagian I juga adalah penting.

Profesor Ulung, Datuk Shamsul Amri Baharuddin mengatakan pada program Wacana Sinar baru-baru ini bahawa Bahagian I itu adalah ‘roh’ Rukun Negara.

Bahagian I itu menyatakan aspirasi dan cita-cita rakyat Malaysia, antara lain ia mahu mencipta masyarakat yang adil di mana kemakmuran negara dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama, memelihara cara hidup demokratik serta membina masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden.

Rukun Negara sudah berusia 50 tahun tetapi ia adalah dokumen yang mendepani zaman. Mereka yang merangka Rukun Negara berfikiran jauh ke hadapan.

Kegagalan kita adalah apabila Rukun Negara tidak dihayati oleh masyarakat. Ia tidak diletakkan sebagai suatu pernyataan identiti kebangsaan bersama tetapi sekadar dibiarkan di kulit buku latihan sekolah. Malah lebih menyedihkan, dokumen berkenaan yang begitu inklusif dan progresif telah dijadikan simbol oleh pihak-pihak yang berfikiran sempit untuk memenuhi agenda mereka.

Kita mesti miliki semula Rukun Negara. Ia cukup lengkap untuk direncanakan sebagai panduan kepada masyarakat yang dapat dijadikan penawar atau solusi kepada perbezaan yang kadangkala menjadi cabaran kepada Malaysia.

Maka, sudah tiba masa kita kembalikan Rukun Negara kepada ruang diskusi awam. Sudah 50 tahun kita seperti mengabaikan Rukun Negara, membiarkan ia menjadi rutin dan hafalan rakyat tanpa pemahaman mahupun penghayatan yang mendalam tentang apa yang terkandung dalam setiap satu ayat dan patah perkataan.

Mari kita ingatkan semula kepada seluruh pelusuk negara bahawa Rukun Negara adalah untuk semua rakyat Malaysia.

*Syahredzan Johan ialah peguam di sebuah firma di Kuala Lumpur


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!