AMK sedia kerah jentera pastikan Shafie kekal terajui Sabah

Raymond Ahuar
Raymond Ahuar
A
A
A

SHAH ALAM - Angkatan Muda Keadilan (AMK) sedia memberikan sokongan penuh bagi memastikan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal kekal sebagai Ketua Menteri Sabah menerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Ketua AMK Sabah, Raymond Ahuar berkata, Mohd Shafie wajar dikekalkan sebagai Ketua Menteri Sabah dalam usaha menuntut hak Sabah dikembalikan.

"AMK Sabah juga mengerahkan seluruh jentera pilihan raya bagi membantu calon Pakatan Harapan (PH), Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) dalam mendepani Perikatan Nasional (PN) pada PRN yang bakal diadakan pada bila-bila masa," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Raymond berkata, AMK Sabah yakin ketokohan Mohd Shafie dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim meletakkan mereka kini berada di landasan yang tepat dalam mengangkat agenda Sabah.

"Beliau (Mohd Shafie) seorang pemimpin yang sangat lantang bersuara terutama berkaitan negeri Sabah termasuk dalam usaha menuntut semula supaya hak negeri Sabah dikembalikan.

"Sudah pasti gabungan antara Shafie sebagai Ketua Menteri Sabah dan Anwar akan memudahkan usaha pengembalian hak Sabah sebagai sebuah Wilayah serta hak rakyat Sabah lebih terbela," katanya.

Mohd Shafie sebelum ini mengumumkan bahawa Yang di-Pertua Negeri Sabah, Juhar Mahiruddin bersetuju untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membolehkan PRN Sabah diadakan.

Ia selepas bekas Pengerusi UMNO Sabah, Tan Sri Musa Aman mendakwa memiliki sokongan majoriti daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri itu untuk membentuk kerajaan baharu.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, beberapa ADUN di Sabah mendakwa mereka ditawarkan sejumlah wang dan jawatan untuk berpaling tadah bagi menjatuhkan kerajaan diketuai Warisan di negeri berkenaan.