Pusat Kesihatan Komuniti bakal diperluas ke seluruh negara

Rina Harun - Foto Bernama
Rina Harun - Foto Bernama
A
A
A
JOHOR BAHRU - Kerajaan merancang membina Pusat Kesihatan Komuniti di seluruh negara bagi membolehkan masyarakat mendapat akses amalan hidup sihat dengan lebih mudah dan murah.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun berkata, penubuhan pusat itu juga mampu meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai penjagaan kesihatan.

"Pusat Kesihatan Komuniti yang menyediakan perkhidmatan percuma melibatkan sesi perundingan dan sesi senaman dengan peralatan gimnasium kepada golongan masyarakat menderita penyakit darah tinggi, diabetes, jantung dan obesiti.

"Bagi mereka yang tidak mempunyai empat penyakit berkenaan hanya dikenakan bayaran RM50 bagi 12 sesi perundingan dan sesi senaman yang diselia pakar kesihatan dan pemakanan bertauliah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Azlinda Unity Wellness Centre di Balai Raya Taman Suria di sini, hari ini.

Azlinda Unity Wellness Centre merupakan pusat kesihatan komuniti untuk kemudahan orang ramai yang akan dibuka setiap hari kecuali Ahad, bermula jam 9 pagi hingga 6 petang.

"Saya berharap masyarakat setempat akan memanfaatkan Pusat Kesihatan Komuniti ini khususnya mereka yang menderita empat penyakit berkenaan kerana perkhidmatan ini disediakan percuma," katanya.

Artikel Berkaitan: