X

Kindly register in order to view this article
!

131 rakyat Malaysia terkandas di Yemen tiba di tanah air

Kamarudin Jaffar
A
A

PUTRAJAYA - Kumpulan pertama rakyat Malaysia seramai 131 orang yang dilaporkan terkandas di Yemen sejak Mac lepas susulan pandemik Covid-19, selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan pesawat sewaan khas Egypt Air pada 8.34 pagi tadi.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, kumpulan kedua seramai 17 orang pula dijadualkan tiba esok (3 Ogos) dengan penerbangan komersial Emirates pada jam 12.55 pagi.

Beliau berkata, perjalanan kesemua 148 rakyat Malaysia tersebut bermula semalam (1 Ogos) dengan penerbangan dari Seiyoun, Yemen ke Kaherah, Mesir sebelum meneruskan perjalanan dengan dua penerbangan berasingan ke Malaysia.

"Rakyat Malaysia dari Yemen ini terdiri daripada pelajar persendirian yang telah menyatakan hasrat untuk pulang ekoran penularan pandemik Covid-19 serta pelajar yang telah tamat pengajian," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kamarudin, yang juga Pengerusi Pasukan Petugas Covid-19 Kementerian Luar berkata, sebelum ini beberapa rancangan repatriasi oleh kerajaan Malaysia untuk membawa pulang kumpulan pelajar tersebut terpaksa ditunda atas sebab isu-isu logistik yang tidak dapat dielakkan.

"Namun demikian, pembukaan semula lapangan terbang dan penyambungan operasi penerbangan komersial oleh kerajaan Yemen membolehkan penerbangan sewaan khas repatriasi ini dilaksanakan. Kos repatriasi ini dibiayai secara bersama antara kerajaan Malaysia dengan penumpang yang rata-rata pelajar daripada keluarga yang kurang berkemampuan," katanya.

Beliau berkata, kesemua rakyat Malaysia yang tiba akan menjalani ujian saringan Covid-19 setibanya di KLIA dan seterusnya dibawa menjalani proses kuarantin di stesen kuarantin yang ditetapkan oleh kerajaan untuk pemantauan lanjut.

Ia adalah susulan lanjutan pengumuman Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 21 Julai lepas mengenai prosedur kuarantin wajib selama 14 hari, katanya.

Kamarudin berkata, Wisma Putra merakamkan penghargaan kepada kerajaan Yemen dan Kedutaan Besar Malaysia di Muscat, Oman yang membantu dalam usaha kepulangan rakyat Malaysia itu ke tanah air serta kerajaan Mesir di atas kerjasama diberikan dalam menjayakan usaha repatriasi rakyat Malaysia tersebut.

Beliau menegaskan Wisma Putra melalui Perwakilan-Perwakilan Malaysia di luar negara akan meneruskan pemantauan situasi semasa serta bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dalam usaha memberi bantuan sewajarnya kepada rakyat Malaysia yang masih berada di luar negara. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!