13 pasukan pemantau khas ditubuh kuat kuasa SOP PKPP

Nik Ezanee beramah mesra dengan peniaga di pasar Jalan Othman.
Nik Ezanee beramah mesra dengan peniaga di pasar Jalan Othman.
A
A
A

PETALING JAYA - Polis Daerah Petaling Jaya menubuhkan 13 pasukan pemantau khas untuk melaksanakan penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, pasukan sama turut memantau pemakaian wajib pelitup muka di lokasi awam bermula kelmarin.

Bagaimanapun katanya, pihaknya mengambil pendekatan menasihat dan menegur orang ramai yang tidak memakai pelitup muka pada hari pertama kelmarin selain tidak merancang mengeluarkan kompaun.

"Dalam keadaan ekonomi yang sukar serta memberi kesan kepada masyarakat, saya mengambil pendekatan menasihat untuk memakai pelitup muka ketika berada di tempat awam.

"Kita akan mengambil tindakan dan mengeluarkan kompaun terhadap mereka yang gagal mengikuti arahan pemakaian pelitup muka dalam masa terdekat namun untuk hari ini (kelmarin) kita akan memberi nasihat dan teguran," katanya selepas meninjau penguatkuasaan Ops Pematuhan Pemakaian Pelitup Muka di sini kelmarin.

Dalam kenyataan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini memaklumkan bermula kelmarin, pelitup muka wajib dipakai di dalam pengangkutan awam dan di kawasan sesak atau tumpuan umum.

Menurutnya, langkah itu diambil berikutan penambahan kluster jangkitan Covid 19 baharu yang dikenal pasti selain atas nasihat Kementerian Kesihatan.

Orang ramai boleh didenda RM1,000 di bawah Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) sekiranya gagal mematuhi peraturan terbaru itu.

Artikel Berkaitan: