Polis tahan 127 individu enggan pakai pelitup muka

Ismail Sabri Yaakob. - Foto Bernama
Ismail Sabri Yaakob. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis menahan 315 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), termasuk 127 kesalahan tidak memakai pelitup muka yang berkuat kuasa mulai semalam.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, 38 individu lain ditahan kerana tidak mengikuti prosedur operasi standard (SOP) manakala baki 150 lagi ditahan kerana menyukarkan penjarakan fizikal.

"Daripada jumlah 315, seramai tiga individu direman manakala 312 individu pula dikenakan kompaun. Pasukan Petugas Operasi Pematuhan itu juga membuat 63,473 pemeriksaan semalam bagi memantau dan menguat kuasa pematuhan SOP," katanya dalam kenyataan berhubung perkembangan PKPP hari ini.

Bagi kawalan sempadan negara, polis membuat 64 Sekatan Jalan Raya Operasi Benteng di seluruh negara dan memeriksa 35,459 kenderaan untuk mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin terutamanya di lorong-lorong tikus.

Sementara itu, polis turut melakukan 2,263 pemeriksaan terhadap individu yang sedang menjalankan kuarantin wajib 14 hari di kediaman masing-masing semalam.

Polis mengambil tindakan terhadap 28 individu kerana gagal mematuhi SOP kuarantin di rumah seperti yang ditetapkan.

Seramai 4,286 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemua ditempatkan di 16 hotel dan lima Institut Latihan Awam (ILA) dan cawangannya di Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Sarawak, Selangor dan Johor sejak 24 Julai sehingga semalam.

"Daripada jumlah itu, seramai 13 individu dihantar ke hospital untuk rawatan.

Artikel Berkaitan:

"Kesemua mereka pulang dari 24 negara iaitu Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura, Vietnam, Brunei, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, Emiriah Arab Bersatu, Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran, Bangladesh, Taiwan, China, United Kingdom, Belanda, Papua New Guinea dan Australia.," katanya. - Bernama