Belia perlu kuasai teknologi baharu

Azmin Ali
Azmin Ali
A
A
A

KUALA LUMPUR - Generasi muda perlu menguasai dan mendakap teknologi baharu untuk menangani cabaran yang datang bersama Revolusi Industri 4.0 dan pelbagai teknologi disruptif, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata penguasaan ilmu dalam teknologi baharu ini memerlukan keghairahan dan ketekunan generasi muda dalam mempelajari subjek Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

“Pendidikan STEM amat penting bagi Malaysia untuk maju dan berdaya saing namun pendidikan tidak bersifat utilitarian semata-mata. Pendidikan perlu turut menghasilkan pencerahan iaitu penjanaan sikap minda yang kritis, terbuka dan toleran.

Pencerahan ini amat penting dalam pembinaan bangsa Malaysia yang majmuk dan pelbagai budaya, pendidikan sejati juga akan menyemai semangat keadilan dan membanteras sikap angkuh serta kebencian terhadap kebejatan seperti amalan rasuah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Azmin berkata dalam konteks pembangunan di negara ini, beliau yakin rakyat Malaysia menyedari peranan pendidikan dalam menjana pertumbuhan ekonomi yang mampan sejak enam dekad yang lepas.

“Pembangunan telah mencipta kemakmuran yang dikongsi oleh 32.4 juta penduduk Malaysia. Hari ini peranan pendidikan semakin penting bagi Malaysia untuk muncul semula sebagai Harimau Asia, pendidikan yang lestari akan menghasilkan modal insan yang pasti meningkatkan daya saing ekonomi.

“Hari ini, 24 Januari, merupakan kali pertama dunia menyambut Hari Pendidikan Antarabangsa. Sambutan ini berikutan resolusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) pada 3 Dis, tahun lepas (2018). Resolusi tersebut diterima oleh perhimpunan tersebut didorong oleh kesedaran dunia terhadap peranan pendidikan dalam mencapai pembangunan yang mampan,” katanya.

Justeru itu, pendidikan adalah usaha sepanjang hayat maka sempena Hari Pendidikan Antarabangsa, Azmin menyeru rakyat Malaysia agar mencintai ilmu dan menggilap semangat untuk belajar dengan berterusan demi memperkayakan diri dan menjadikan Malaysia kuat dan berwibawa. - Bernama

Artikel Berkaitan: