PRN Sabah: Jangan sulitkan rundingan antara parti

Annuar (dua dari kanan) menyerahkan daging korban kepada penduduk Parlimen Ketereh di Kampung Belukar Luas, Kota Bharu hari ini.
Annuar (dua dari kanan) menyerahkan daging korban kepada penduduk Parlimen Ketereh di Kampung Belukar Luas, Kota Bharu hari ini.
A
A
A

KOTA BHARU - Semua parti di bawah Perikatan Nasional (PN) disaran supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menyulitkan rundingan dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa berkata, ia juga termasuk soal pengagihan kerusi.

Beliau berkata, PRN Sabah diadakan secara mengejut dan ia memerlukan satu perbincangan antara parti dalam PN melibatkan tiga perkara yang perlu diperhalusi.

“Kita tahu keadaan struktur politik di Sabah berbeza dengan Semenanjung Malaysia. Pertama, dari sudut UMNO. UMNO Sabah mempunyai autonomi mereka sendiri. Maka ruang untuk membuat keputusan dasar tertentu, kita harus menunggu pucuk pimpinan UMNO di Sabah untuk merujuk kepada Presiden parti," katanya.

Menurutnya, perkara kedua pula ialah struktur BN di Sabah berbeza kerana banyak parti politik yang dahulunya bersama dengan BN ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tetapi kini sebahagiannya sudah keluar namun masih memberi sokongan kepada BN.

“Ketiganya ialah antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dengan UMNO sendiri. Bersatu di Sabah ditubuhkan oleh mereka yang keluar UMNO pada ketika itu.

"Jadi ketiga-tiga perkara yang unik ini memerlukan sedikit masa bagi membolehkan pucuk pimpinan kesemua parti berunding dan berbincang secara baik,” katanya kepada pemberita ketika hadir bagi mengagihkan daging korban kepada penduduk di Kampung Belukar Luas di sini hari ini.

Annuar yang juga Menteri Wilayah Persekutuan dan Ahli Parlimen Ketereh berkata, dalam soal pengagihan kerusi sebenarnya masih belum dibincangkan.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, ketika ini terdapat kenyataan berhubung jumlah kerusi bakal ditandingi dikeluarkan daripada individu yang tidak mempunyai autoriti untuk bercakap mengenainya.

“Saya dapati ada beberapa pihak mengeluarkan kenyataan. Contohnya jumlah kerusi. Saya fikir terlalu awal dan ia boleh menimbulkan kesulitan dalam rundingan," katanya.

Menurutnya, untuk memastikan keputusan dicapai dengan baik, ia memerlukan satu bentuk rundingan dalam suasana yang harmoni dan tertib.

“Kalau kita uruskan dengan baik, rakyat Sabah akan mendapat manfaat kerana kita ada satu saf yang kuat dan solid. Jangan letak emosi di hadapan. Ini satu perkara yang besar iaitu kita mesti menamatkan jurang rakyat Sabah yang digadaikan," kata beliau.