Peniaga pasar awam tidak pakai pelitup muka diberi notis

Jagdeep menyerahkan pelitup muka kepada peniaga ketika melawat Pasar Awam Jelutong pagi tadi.
Jagdeep menyerahkan pelitup muka kepada peniaga ketika melawat Pasar Awam Jelutong pagi tadi.
A
A
A

GEORGETOWN - Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) telah mengeluarkan 43 notis kepada peniaga di enam pasar awam di kawasan pulau kerana gagal memakai pelitup muka ketika menjalankan perniagaan.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Perancangan Bandar dan Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, selain peniaga, tiga individu di dua pasar awam juga dikenakan notis kerana kesalahan sama.

Menurutnya, penguat kuasa amat menitikberatkan arahan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan iaitu memakai pelitup muka di tempat awam yang sesak.

"Ada juga pelanggan yang mempunyai pelitup muka tetapi tidak memakainya. Mereka ini hanya diberi amaran lisan yang tegas supaya mematuhi SOP.

"Kerajaan Pulau Pinang bersama polis dan kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) akan terus memantau pematuhan kesemua SOP di negeri ini bagi memastikan keselamatan kesihatan orang ramai terus terjamin," katanya kepada media selepas melawat Pasar Awam Jelutong pagi ini.

Beliau memberitahu, lapan daripada 14 pasar awam di kawasan pulau mematuhi 100 peratus SOP manakala di seberang lapan daripada 11 pasar juga patuh arahan kerajaan.

Jagdeep berkata, sehingga 31 Julai, sebanyak 187,740 pemeriksaan dilakukan di kawasan pulau manakala 422,676 di bahagian seberang dan kesemuanya menunjukkan lebih 99 peratus patuh SOP.

"Pada 25 dan 26 Julai lalu, 113 kompaun dikeluarkan iaitu 26 kepada premis dan 87 kepada individu dalam Ops Mega Pematuhan SOP Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) Covid-19 oleh polis dan MBPP.

Artikel Berkaitan:

"Mereka dikompaun mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 kerana gagal mematuhi pelbagai SOP seperti kegagalan mematuhi penjarakkan fizikal dan tiada pemeriksaan suhu," katanya.