X

Kindly register in order to view this article
!

Teluk Cempedak sesak, tiada penjarakkan fizikal pengunjung

Mohamad Noor melakukan pemeriksaan ke atas pengunjung pusat peranginan Teluk Cempedak.
A
A

KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Kawasan pusat peranginan Teluk Cempedak di sini semalam sesak dengan pengunjung dengan rata-ratanya tidak mematuhi penjarakkan fizikal sebagaimana disarankan kerajaan.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, hasil pemantauan pihaknya menerusi operasi petang semalam mendapati situasi di lokasi berkenaan 'menakutkan' apabila sesak dengan pengunjung tanpa mengamalkan penjarakkan fizikal.

"Walaupun rata-rata pengunjung akur dengan arahan mewajibkan pemakaian pelitup muka, namun penjarakkan fizikal dalam kalangan mereka sukar dikawal.

"Apa yang berlaku, pengunjung begitu ramai mungkin kebetulan adalah cuti umum sempena hari raya Aidiladha sehinggakan rata-rata pengunjung gagal patuhi penjarakkan fizikal, malah kemasukan pengunjung berterusan walaupun keadaan sudah sesak," katanya.

Mohamad Noor menasihati pengunjung agar mematuhi SOP ditetapkan semasa operasi di Teluk Cempedak di sini petang semalam.
Mohamad Noor menasihati pengunjung agar mematuhi SOP ditetapkan semasa operasi di Teluk Cempedak di sini petang semalam.

Beliau berkata demikian selepas Operasi Khas Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di lokasi tumpuan ramai sekitar Kuantan termasuk di pusat peranginan Teluk Cempedak, pusat beli- belah dan Terminal Sentral Kuantan (TSK) petang semalam.

Mohamad Noor berkata, beliau mencadangkan supaya bilangan pengunjung ke pusat peranginan Teluk Cempedak di sini dihadkan mengikut masa tertentu bagi mengelak berlaku kesesakan selain sukar untuk memastikan penjarakkan fizikal dipatuhi.

"Mungkin boleh difikirkan kadar kemasukan pengunjung dihadkan untuk satu-satu masa. Dalam tempoh tertentu, mereka perlu keluar untuk memberi laluan kepada pengunjung lain pula.

"Langkah pertama kita akan bincang dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) terlibat berkaitan perkara ini," katanya.

Mohamad Noor berkata, beliau yakin pihak PBT prihatin dan mengambil langkah terbaik untuk keselamatan dan keselesaan pengunjung.

"Cadangan ini bukan untuk menghalang pengunjung ke pusat peranginan itu atau pusat tumpuan ramai yang lain tetapi lebih kepada aspek keselamatan dan memastikan semua pihak patuh kepada SOP ditetapkan," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus