Kes Najib pengaruhi kedudukan PN

Najib didapati bersalah terhadap ketujuh-tujuh pertuduhan melibatkan pecah amanah jenayah (CBT), pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kuasa melibatkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd. - Foto Bernama
Najib didapati bersalah terhadap ketujuh-tujuh pertuduhan melibatkan pecah amanah jenayah (CBT), pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kuasa melibatkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd. - Foto Bernama
A
A
A

AKHBAR-akhbar Cina berpandangan hukuman yang dikenakan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak atas kesalahan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram meninggalkan implikasi dalam senario politik negara.

Najib dihukum penjara 72 tahun dan denda RM210 juta oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai lalu selepas didapati bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan dana SRC berjumlah RM42 juta.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes itu.

Najib ialah Perdana Menteri Malaysia pertama yang didapati bersalah selepas didakwa dihadapkan ke mahkamah atas kesalahan yang dilakukannya.

Keseluruhan hukuman penjara itu adalah selama 72 tahun namun mahkamah memerintahkan kesemua hukuman itu berjalan secara serentak iaitu Najib hanya dipenjara selama 12 tahun.

Mengulas isu berkenaan, lidah pengarang Sin Chew Daily menulis, sebagai bekas Perdana Menteri, pembabitan beliau dalam semua tuduhan yang dilakukan amatlah serius, lebih-lebih lagi membabitkan sejumlah wang yang amat banyak.

“Mana-mana ahli politik yang memegang jawatan penting sama ada Perdana Menteri, Menteri Besar, Ketua Menteri, Menteri, Ahli Parlimen ataupun Ahli Dewan Undangan Negeri, mereka perlu menggunakan kuasa yang ada pada mereka dengan jujur dan tulus.

“Segala keputusan yang dilakukan mereka tidak seharusnya terbabit dalam penyalahgunaan kuasa ataupun penyelewengan wang. Mereka adalah pemimpin dan perlu menunjukkan sikap yang dihormati semua pihak,” tulis akhbar itu.

Artikel Berkaitan:

Menurut akhbar itu, keputusan yang dibuat mahkamah turut membuktikan badan kehakiman di negara kita tetap adil tanpa dipengaruhi mana-mana pihak yang berkepentingan.

“Tidak kira siapa yang dituduh, mahkamah telah mengadili dengan saksama dan penuh berprofesional. Ia jelas tidak dipengaruhi dan tiada campur tangan oleh sebarang unsur politik,” kata akhbar itu lagi.

Sementara itu, lidah pengarang Nanyang Siang Pau pula mempersoalkan kedudukan Perikatan Nasional (PN) yang kemungkinan akan menghadapi perpecahan berikutan Najib yang didapati bersalah oleh mahkamah.

Akhbar itu percaya UMNO, parti yang terbesar dalam PN, sudah tentu rasa bimbang dengan perkembangan terbaru ini.

“Sebagai bukti, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah mengumumkan UMNO tidak akan menyertai PN sebaliknya akan mengukuhkan kedudukan Muafakat Nasional yang dianggotai bersama dengan Pas,” tulis akhbar itu.

Kedudukan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kini turut dikatakan dalam keadaan tidak menentu. Akhbar itu meramalkan hubungan antara Muhyiddin dengan UMNO akan bertambah dingin selepas hukuman yang dikenakan terhadap Najib.

“Bagaimanapun, Muhyiddin tentu mempunyai strateginya sendiri. Bermula daripada ‘Langkah Sheraton’ hinggalah dipilih sebagai Perdana Menteri, Muhyiddin telah menunjukkan kebijaksanaan menghadapi situasi politik yang tidak menentu.

“Sekiranya Muhyiddin masih mengekalkan atau menambahkan sokongan kerusi dalam Parlimen, kedudukannya diramalkan dapat berterusan sehingga habis penggal Parlimen,” kata akhbar itu.