Tolak kerajaan pintu belakang

Mohd Shafie (tengah) ketika mengumumkan pembubaran DUN Sabah pada sidang akhbar di Kota Kinabalu pada Khamis lalu. -Foto Bernama
Mohd Shafie (tengah) ketika mengumumkan pembubaran DUN Sabah pada sidang akhbar di Kota Kinabalu pada Khamis lalu. -Foto Bernama
A
A
A

IMPIAN Tan Sri Musa Aman untuk kembali bergelar Ketua Menteri Sabah musnah di pertengahan jalan meskipun berjaya membuktikan beliau mendapat sokongan majoriti 33 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menerusi surat Akuan Bersumpah (SD) untuk kembali menerajui kerajaan negeri.

Musa pernah memegang jawatan Ketua Menteri Sabah selama 15 tahun bermula tahun 2003 sehingga 2018 termasuk selepas Barisan Nasional (BN) Sabah di bawah pimpinan beliau memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Bagaimanapun, keputusan PRU14 itu menyaksikan BN Sabah terikat jumlah kerusi dengan pihak lawan iaitu Parti Warisan Sabah (Warisan) dan rakan sekutu daripada Pakatan Harapan (PH) apabila masing-masing memperoleh 29 kerusi daripada 60 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Dua kerusi lagi dimenangi Parti Solidariti Tanah Airku Rakyat Sabah (Star) dan telah menyatakan sokongan kepada Musa sekali gus membolehkan beliau membentuk kerajaan dengan memperoleh majoriti mudah 31 kerusi DUN.

Pada masa sama, Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) mengumumkan keluar daripada BN namun ADUN Upko seramai empat orang kekal menyokong Musa sebagai Ketua Menteri.

Melalui majoriti itu, Musa berjaya mempertahankan jawatan disandang dengan mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah pada 10 Mei 2018.

Kurang 24 jam, kedudukan Musa mula goyah apabila majoriti yang diperoleh sebelum itu bertukar tangan kepada parti lawan susulan tindakan enam ADUN BN mengumumkan keluar daripada BN untuk menyertai Warisan sebagai ADUN Bebas yang menyokong Datuk Seri Mohd Shafie Afdal selaku Presiden Warisan untuk dilantik sebagai Ketua Menteri Sabah yang baharu.

Pada 12 Mei 2018, Mohd Shafie mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah buat kali pertama selepas 48 jam Musa mengangkat sumpah untuk jawatan itu.

Artikel Berkaitan:

Musa bertindak balas dengan memfailkan writ memohon mahkamah mengisytiharkan beliau sebagai Ketua Menteri yang sah namun pada 7 November 2018, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan pelantikan Mohd Shafie sebagai Ketua Menteri Sabah adalah sah mengikut perlembagaan.

Nasib tetap tidak menyebelahi Musa apabila pada 28 November 2019, Mahkamah Rayuan Kota Kinabalu menolak rayuan Musa terhadap penolakan saman dalam mencabar kesahihan pelantikan Mohd Shafie sebagai Ketua Menteri Sabah yang sah.

Langkah Musa mempertahankan kedudukannya tidak terhenti apabila pada 29 Julai 2020, Musa membuat kejutan apabila tampil mendakwa beliau memperoleh sokongan 33 ADUN untuk membentuk kerajaan negeri baharu menerusi gabungan beberapa parti.

Susulan itu, keesokan harinya, Mohd Shafie diterima menghadap Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin bagi memohon perkenan pembubaran DUN Sabah.

Akhirnya mandat rakyat Sabah dikembalikan melalui pilihan raya negeri yang perlu diadakan dalam tempoh 60 hari bagi memilih kerajaan negeri yang baharu sama ada mahu Musa atau Mohd Shafie sebagai Ketua Menteri Sabah.Rata-rata pelayar media sosial memberikan pandangan positif terhadap keputusan pembubaran DUN Sabah bagi menyelesaikan pergolakan dan perebutan kuasa dalam kalangan pemimpin.Isu wakil rakyat melompat parti turut menjadi bualan hangat yang menyifatkan tindakan itu sebagai tidak bertanggungjawab demi kuasa dan kelangsungan politik semata-mata.

Menurut Setiausaha Agung Warisan, Datuk Loretto Padua, pembubaran DUN dilakukan mengikut Perlembagaan yang memberi kuasa kepada Ketua Menteri untuk berbuat demikian selepas mendapat perkenan Yang di-Pertua Negeri.

Katak-katak

Katanya, mandat yang diberikan rakyat sebelum ini perlu dikembalikan untuk memilih kerajaan negeri baharu.

“Ya, rakyat Sabah mahu DUN dibubarkan kerana mereka marah dengan ‘katak-katak’ (wakil rakyat yang melompat parti).

“Apa yang berlaku di Putrajaya apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin ambil kuasa dari ‘pintu belakang’, ini pun rakyat marah. Tapi bezanya Muhyiddin dengan Shafie, beliau (Muhyiddin) tidak berani membubarkan Parlimen untuk bagi balik mandat kepada rakyat memilih,” ujarnya.

Sementara itu Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Azizah Mohd Dun mempunyai pandangan berbeza mengenai pembubaran DUN tersebut.

“Mesej yang saya terima daripada bawah termasuk yang terlibat dengan pusat pengundian dan sebagainya, mereka berasa bimbang.

“Daripada apa yang saya peroleh ketika turun padang, rakyat tidak mahu pilihan raya dalam masa terdekat kerana kita baru sahaja PRU14 dan tempohnya belum habis,” ujar Azizah.

Azizah pernah menjadi Timbalan Ketua Wanita dan ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO sebelum meninggalkan parti itu pada 12 Disember 2018 bersama empat lagi Ahli Parlimen UMNO lain dari Sabah selain sembilan ADUN.

Empat lagi ahli Parlimen terbabit ialah Datuk Abdul Rahim Bakri (Kudat), Datuk Seri Ronald Kiandee (Beluran), Datuk Zakaria Edris (Libaran) dan Yamani Hafez Musa (Sipitang).

Selain mereka, bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman yang juga Ahli Parlimen Kimanis lebih awal meninggalkan UMNO pada 19 September 2018.

Pada Khamis lalu, Mohd Shafie mengumumkan pembubaran DUN Sabah bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri diadakan dalam tempoh 60 hari.

Mohd Shafie membuat pengumuman berkenaan pada sidang akhbar khas di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah di sini selepas mendapat perkenan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.

Mohd Shafie berkata, beliau telah memohon perkenan daripada Tun Juhar untuk membubarkan DUN dan Yang di-Pertua Sabah telah memperakukannya.

“Saya masih menjalankan tugas-tugas sebagai Ketua Menteri dalam tempoh pembubaran tersebut,” katanya.