Pertembungan sastera perdana

No Image Caption
A
A
A

SUATU fenomena dalam sastera Melayu mutakhir ialah pertembungan antara sastera perdana dengan sastera jalur kedua. Pertembungan ini sering diwacanakan dalam pertemuan dan penulisan.

Sastera perdana, mempunyai sejarah pembinaannya, berperlembagaan dan dinaungi oleh badan-badan berkanun kerajaan atau swasta serta institusi pengajian tinggi. Teks-teks yang dihasilkan mempunyai nilai baku dan berkualiti, dan berkembang mengikuti aliran yang dilentur oleh takdir sejarah sastera dunia. Pengarangnya mapan dengan pelbagai pemikiran, juga falsafah; ada antaranya yang memiliki pelbagai gelar termasuk Sasterawan Negara. Kedudukannya kukuh dan terjamin, mendapat piawaian daripada pengkritik, pengkaji dan para sarjana. Di samping itu, ia mempunyai khalayak yang tetap, elit dan berwibawa.

Sastera jalur kedua bergerak secara sendiri, dengan bentuk, genre dan aliran mengikut kecenderungan mandiri. Subjek dan pemikirannya juga rencam, tanpa konsep atau pegangan yang mengikatnya. Gerakannya dalam horizon kebebasan tanpa kawalan, sekatan dan tiada pengiktirafan. Teks-teksnya dicetak oleh rumah penerbitan sendiri, tanpa pemantauan yang mengawal aktivitinya. Juga, mengaplikasikan komunikasi maya, yang memperluaskan mediumnya. Tetapi, mereka terdiri daripada pengarang muda yang berpendidikan, bestari dan cekal, juga mempunyai khalayak yang lumayan.

Dalam konteks ini, muncullah istilah sastera popular, teks picisan dan sastera marginal.

Fenomena ini terkenal juga dengan jolokan pertembungan antara sastera tinggi dengan sastera rendah atau sastera mapan dengan sastera picisan. Menurut istilah pascamoden, ia terbina akibat daripada perselisihan kepercayaan, yang dinamakan sebagai binari oposisi dan dekotomi.

Jacques Derrida, penteori dekonstruksi, yang mencipta istilah binari oposisi itu, merujuk kepada perbandingan dua kata antara putih hitam, tinggi rendah dan Barat Timur. Perkataan pertama, putih, tinggi dan Barat lebih mulia, terhormat dan bemakam. Tetapi, perkataan kedua, hitam, rendah dan Timur dalam situasi kekurangan, kehinaan dan kelemahan. Berdasarkan kepada binari oposisi itu, kedudukan sastera perdana lebih kuat, terjamin dan dihormati berbanding sastera jalur kedua.

Mengambil contoh dalam aspek produksi atau penerbitan, faktor utama terjadinya fenomena itu. Badan berlembaga seperti Dewan Bahasa dan Pustaka, PTS, Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) dan Karangkraf adalah penerbit yang mempunyai sistem dan tatakerja yang kukuh, hanya menerbitkan buku yang berkualiti dan baku. Setiap manuskrip menjalani proses penilaian yang ketat, berlapis-lapis dan mendapat suntingan yang sempurna. Para editornya terlatih, mahir dan adil. Sistem pembayaran dan honorarium pun terkawal dan telus.

Dalam konteks ini, tidak semua penulis mendapat peluang untuk menerbitkan karya melalui penerbitan arus perdana itu. Hambatannya kelemahan karya, isi kandungannya tidak selari dengan semangat lembaga penerbit, atau berlakunya lambakan manuskrip. Akibat kegagalan merentasinya, ada pengarang yang berusaha menerbitkannya sendiri. Dengan mendaftar syarikat penerbitan, maka berdirilah rumah penerbitan mandiri.

Artikel Berkaitan:

Tegasnya, bermula tidak mendapat tempat dalam jalur sastera perdana, lahirlah sastera jalur kedua. Bagaimanapun, jalur kedua memiliki kekuatannya tersendiri. Terserlah sebuah pemberontakan dan perlanggaran, dengan pengarangnya yang berorientasikan tindakan dan man of the action dengan ideologi dan hegemoni yang mampu melahirkan karya eksprimental bermutu. Dalam keadaan tertentu, terbayang kekuatannya dengan mengalahkan sasterawan mapan. Pertembungan

Pertembungan ini sebenarnya bukan fenomena baharu. Dalam sastera Perancis, pernah lahir golongan penulis yang mencabar kedudukan sastera arus perdana. Mereka melakukan percubaan menentang aliran dan gaya mapan sastera Perancis. Lahirlah neuvo roman dan neiso poem yang terkenal sebagai sastera avant-garde.Dalam sastera Greek, pernah muncul gerakan chef doeuvre aspirasi pengarang, implikasi daripada tekanan agonia batin, menghasilkan karya yang berbeza dengan yang sedia ada. Dalam konteks pertembungan ini, untuk mengendurkannya, elok kita kembali kepada semangat falsafah sastera pascamoden. Dengan tujuan untuk memperkemas, merawat dan memulihkan segala kelemahan sastera moden, pascamoden diwujudkan supaya segala kekurangan dan penyakit dapat disembuhkan.

Pertembungan di Perancis antara sastera perdana dengan golongan avant-garde menjadi sihat, apabila Julia Krestiva berjaya menyatukan kedua-duanya. Karya abstrak, kabur dan remang diberi makna dan signifikasi, sehingga khalayak dapat memahaminya, dan mengendurkan perbalahan yang menghukum sastera avant-garde sebagai sesat dan gila.

Sedia maklum, kelahiran pascamodenisme membuang binari oposisi, dekotomi, dominasi dan narasi besar. Tidak ada lagi sastera yang lebih mulia dengan yang hina, atau sastera Barat dengan Timur, atau sastera tinggi dengan sastera rendah. Kedua-duanya sama kedudukannya.

Sehubungan itu, pertembungan antara sastera eksklusif dan inklusif di Malaysia, patut ditamatkan. Pagar besi yang memisahkan hendaklah dibongkar. Kedua-duanya bernaung dalam sebuah kerajaan, sastera Malaysia. Sudah lama di Barat sejak zaman pascamoden, tiada lagi high atau low literature. Semuanya duduk berkongsi dalam sebuah istana sastera.

Seandainya terjadi pertentangan nilai, antara sastera mapan dengan eksperimental, anggaplah sebuah pencarian yang positif, estetik dan dialogik, bukan bersiri kesangsian atau kebimbangan. Harus dibina jambatan silaturahim. Sesungguhnya kegemilangan sastera Melayu sangat banyak bergantung kepada penulis pelapis.

Membiarkan hayat pertembungan itu berlarutan, rasanya akan membawa konflik berpanjangan. Sastera Melayu akan terus mengalami kerugian dan ketidaktentuan arah masa hadapan. Seandainya, kerajaan kita berjaya memutuskan rangkaian Covid-19, tidak mustahil kita berjaya menghapuskan virus binari oposisi dan dikotomi sastera perdana dan sastera jalur kedua. Dengan membina jambatan kerjasama; bermakna kita berhasil untuk menegakkan sebuah kerajaan sastera yang sedarjat, adil dan saksama.

* Mana Sikana ialah nama pena Dr Abdul Rahman Napiah. Beliau ialah pengkritik, pengkaji dan penteori sastera terkenal Malaysia