Teka-teki masa depan politik Najib

Najib
Najib
A
A
A

SETELAH mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak didapati bersalah di atas tujuh pertuduhan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur baru-baru ini, banyak pihak berspekulasi mengenai masa depan politik beliau.

Najib yang baru mencecah umur 67 tahun pada 23 Julai lalu dilihat sedang menghadapi cabaran terbesar dalam hidup dan karier beliau.

Ini kerana jelas sekali masa depan politik beliau banyak bergantung kepada sejauh mana rayuan beliau diterima oleh Mahkamah Rayuan mahupun Mahkamah Persekutuan. Sebelum membicarakan mengenai apa yang kemungkinan akan berlaku kepada kerjaya politik beliau, baik kita meninjau susur galur politik Najib.

Najib sebenarnya mempunyai pengalaman politik yang sangat luas. Beliau dilahirkan dalam keluarga politik yakni ayah beliau adalah bekas Perdana Menteri Malaysia yang kedua iaitu Tun Abdul Razak Hussein.

Sebagai seorang yang terdedah kepada politik Malaysia di peringkat awal dalam kehidupan beliau, sudah tentu beliau memahami sepak terajang politik sehingga beliau mampu meningkat daripada satu tahap ke tahap yang lebih tinggi sehingga membolehkan beliau menjadi Perdana Menteri Malaysia yang keenam pada 2009 sehinggalah 2018. Bagaimanapun, di bawah kepimpinan beliau, Barisan Nasional (BN) tumbang kepada Pakatan Harapan (PH) pada tahun 2018.

Sebelum itu, beliau pernah memegang banyak portfolio seperti Menteri Besar Pahang, Menteri Pendidikan, Menteri Pertahanan dan menjadi Timbalan Perdana Menteri ketika era pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Ketika beliau menjadi Perdana Menteri, Najib ialah pemimpin yang bertanggungjawab menjalankan dasar terbuka ke atas hak berpolitik di Malaysia, mengikuti perancangan dan jejak dasar Tun Abdullah sebelumnya.

Misalnya, beliau juga telah menghapuskan undang-undang kontroversi seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri dan Ordinan Darurat serta meminda beberapa undang-undang termasuklah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan dan Akta Universiti dan Kolej Universiti.

Artikel Berkaitan:

Beliau juga melancarkan dasar Satu Malaysia (1Malaysia) yang bermatlamat menyatupadukan penduduk Malaysia di samping memperkenalkan beberapa jenama produk bagi membantu rakyat yang memerlukan bantuan seperti Bantuan Rakyat Satu Malaysia (BR1M), Kedai Satu Malaysia dan sebagainya.

Paling signifikan, beliau melancarkan beberapa dasar yang dilihat baik bagi matlamat pertumbuhan ekonomi Malaysia melalui pendekatan Model Baharu Ekonomi iaitu Program Transformasi Kerajaan dan Program Transformasi Ekonomi.

Beliau juga memperkenalkan Indeks Utama Pencapaian (KPI) dalam pentadbiran serta Bidang Keberhasilan Utama Negara (National Key Result Area-NKRA) yang dilihat baik bagi menyelesaikan isu masyarakat seperti pendidikan, keselamatan dan sebagainya. Dalam Islam, beliau juga membawa agenda wasatiyah dalam penyatuan umat Islam di Malaysia.

Kontroversi

Namun sepanjang pentadbirannya, Najib tidak boleh lari daripada dihambat kontroversi. Antaranya termasuklah memperkenalkan sistem percukaian seperti Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) setelah kejatuhan pasaran minyak global. Beliau juga mewujudkan syarikat 1MDB yang berperanan untuk menambah pendapatan negara melalui galakan aktiviti pelaburan dalam dan luar negara.

Namun aktiviti syarikat 1MDB itu jugalah yang menjadi bahan perdebatan di peringkat global sehingga nama Najib terpalit dengan tuduhan serta penghakiman yang beliau hadapi di Mahkamah Tinggi baru-baru ini. Malah kekalahan BN ketika pilihan raya umum ke-14 yang lalu juga sedikit sebanyak kerana skandal 1MDB tersebut.

Namun, Ahli Parlimen Pekan itu menerima kekalahan tersebut dan meletak jawatan sebagai Presiden UMNO. Kerjaya politik beliau dilihat merudum ketika itu.

Namun, selepas hampir setahun beliau kembali popular apabila kerajaan Pakatan Harapan menghadapi kritikan hebat ke atas beberapa dasar yang ingin diperkenalkan.

Beliau melancarkan satu fenomena di media sosial melalui kempen Bossku. Kempen itu menarik minat golongan muda dan menjadikan Najib kembali popular di Malaysia.

Bagaimanapun, fenomena Bossku itu dilihat kembali malap selepas penghakiman di Mahkamah Tinggi menyabitkan Najib dengan skandal kewangan SRC International bernilai RM42 juta awal minggu ini.

Secara tidak langsung, penghukuman tersebut menjejaskan masa depan politik beliau meskipun sebagai bekas Perdana Menteri, sokongan kepada beliau dalam UMNO dan BN masih kuat.

Status beliau sebagai ahli Parlimen dan ahli UMNO banyak bergantung kepada proses rayuan yang akan beliau lakukan di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan nanti.

Namun sekiranya pilihan raya umum diadakan pada masa terdekat dan Najib masih belum selesai proses rayuannya, beliau sebenarnya tidak akan layak untuk bertanding semula mempertahankan kerusi Parlimen Pekan yang beliau sandang pada masa kini.

Malah ada juga para pemimpin UMNO yang beranggapan bahawa UMNO tidak harus terjerat dengan kes mahkamah yang dihadapi Najib. Tidak ketinggalan UMNO perlu terus menuju ke hadapan serta cuba tidak dikaitkan dengan isu tersebut.

Secara rasionalnya jika pandangan pemimpin UMNO itu diambil kira, kes Najib itu dilihat sudah tentu menjejaskan usaha UMNO untuk menjenamakan semula parti tersebut bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang. Penolakan UMNO itu boleh menjejaskan masa depan politik Najib pada masa hadapan.

Yang pasti, sekiranya Najib gagal dalam proses rayuannya, bukan sahaja masa depan beliau akan terjejas malah kredibilitinya juga akan tergugat.

Jika itu yang bakal tercatat, maka sukar bagi beliau untuk memulihkan semula nama beliau sebagai pemimpin dan kembali aktif dalam politik nasional.

Oleh itu, adalah penting bagi Najib untuk terus berjuang di mahkamah bagi memenangi proses rayuan dan membersihkan semula nama beliau. Yang jelas, Najib kini dilihat tidak akan mengalah dengan mudah tetapi terus berjuang bagi menyelamatkan legasi politiknya.

**Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani ialah Profesor di Pusat Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia