X

Kindly register in order to view this article
!

Pergolakan politik cermin sikap tidak peduli rakyat

Gambar kecil: Nazhan Zulkifli
A
A

KUALA TERENGGANU - Pergolakan politik di Sabah dan beberapa negeri termasuk Johor, Melaka dan Kedah sebelum ini mencerminkan sikap sesetengah ahli politik yang tidak mempedulikan masalah rakyat.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Terengganu, Nazhan Zulkifli berkata, ketika satu dunia menghadapi pandemik koronavirus (Covid-19), ahli politik Malaysia sibuk mencatur langkah untuk berkuasa.

“Blok pembangkang kembali bergolak apabila beberapa hari lepas dikatakan Tan Sri Musa Aman berjaya mengumpul majoriti mudah untuk merampas Sabah.

"Bagaimanapun, Ketua Menterinya, Datuk Seri Mohd Shafie Afdal yang juga Presiden Parti Warisan Sabah mengambil jalan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk menghentikan langkah politik kotor tersebut," katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, tindakan lompat parti membabitkan ahli politik hanya disebabkan kuasa dan pangkat dan situasi dalam Dewan Negara pula menunjukkan seolah-olah ahli politik tidak berkualiti.

“Sudahlah pelbagai isu yang menghimpit rakyat saat ini, dengan masalah pengangguran yang makin meningkat akibat pandemik dan perniagaan-perniagaan yang terjejas.

“Di Parlimen pula ada ahli politik tidak begitu serius menangani masalah rakyat. Ada yang hadir ke Parlimen bertengkar tentang isu yang tidak penting, ada yang ke Parlimen mengeluarkan perkataan kesat. Jadi, di manakah kualiti ahli politik negara kita?” katanya.

Katanya, jika dahulu mungkin rakyat tidak tahu tentang perkembangan politik Malaysia, namun rakyat sudah boleh menilai seseorang ahli politik melalui perbahasan secara langsung di Parlimen di media sosial.

"Jika situasi ini berterusan, rakyat mungkin akan tertanya-tanya apakah ‘harapan’ yang dibawa rakyat masih boleh dipikul oleh wakil yang mereka pilih.

“Saya faham jika hari ini ramai yang sudah muak dengan perkembangan politik tanah air kita, malah sudah tidak peduli siapa kerajaan dan siapa pembangkang lagi. Undi kita diperdagangkan begitu sahaja apabila ahli politik melompat parti seperti tiada harga diri.

“Mereka sepatutnya berkhidmat untuk kita semua namun memilih untuk mempermainkan undi kita sesuka hati. Politik kuasa ini perlu dihentikan segera,” katanya.

Nazhan berkata, sudah tiba masanya mengetepikan politik perebutan kuasa dan kembali kepada politik idealisme yang lebih membantu rakyat serta meninggalkan legasi ahli politik sedia ada yang rakus demi kuasa, wang dan pangkat.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!