Kembalikan tanda aras Islam

A
A
A

JIKA kita meneliti sejarah, kita akan mendapati sebelum kedatangan penjajah, Tanah Melayu telah melaksanakan undang-undang Islam dalam urusan kehidupan seharian.

Segala permasalahan diadili di hadapan Sultan, pemerintah kawasan dan sebagainya berdasarkan undang-undang Islam dalam semua urusan termasuklah hal ehwal kekeluargaan, muamalat dan jenayah.

Hal itu berlaku selepas Sultan memeluk Islam, rakyat pula berbondong-bondong mentauhidkan ALLAH SWT.

Catatan bertulis mengenai hukum dan peraturan Islam dalam beberapa tulisan seperti Undang-undang 99 Perak, Hukum Kanun Melaka dan lain-lain menjadi bukti bahawa wujudnya peruntukan undang-undang Islam yang dilaksanakan secara sistematik.

Selepas Inggeris menduduki Tanah Melayu, pihak Inggeris dan Raja-Raja Melayu memeterai beberapa perjanjian atau dipanggil triti.

Dalam triti tersebut, diletakkan syarat bahawa Residen Inggeris dibenarkan datang dan memberi bantuan kepakaran dalam mentadbir urusan negara kepada pihak Sultan.

Bagaimanapun, Residen tidak akan mencampuri urusan pentadbiran agama dan pelaksanaan undang-undang Islam di Tanah Melayu. Malangnya, ketika itu tafsiran Islam itu disempitkan.

Ketika itu, urusan undang-undang mula dibahagikan kepada aspek-aspek yang terpisah. Undang-undang muamalat atau transaksi dianggap urusan keduniaan yang tidak berkait dengan Islam.

Artikel Berkaitan:

Inggeris juga memperkenalkan tiga piagam yang dipanggil Charters of Justice (Piagam Keadilan Pertama) pada tahun 1807, Piagam Keadilan Kedua pada 1826 dan Piagam Keadilan Ketiga pada 1885.

Semua itu bertujuan untuk mengangkat taraf undang-undang Inggeris dan secara tidak langsung menenggelamkan serta menyisihkan undang-undang Islam yang dulunya diamalkan sebagai lex loci (undang undang tempatan).

Campur tangan secara langsung dalam urusan kekeluargaan orang Islam di Tanah Melayu juga telah berlaku pada tahun 1880.

Inggeris telah memperkenalkan satu ordinan yang dipanggil Muhammedan Marriage Ordinance dengan tujuan untuk menetapkan sejauh mana undang-undang Islam boleh diterima dan diiktiraf mahkamah.

Dengan terlaksananya ordinan itu juga, cita-cita dan usaha British untuk memisahkan antara urusan sivil dan urusan keagamaan yang dirancang sejak kedatangannya ke Tanah Melayu mula terzahir dengan begitu jelas.

Bermula pada awal tahun 1950-an, Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak, Selangor 1952 telah digubal yang mengandungi urusan penubuhan Majlis Ugama Islam dan Adat Istiadat Melayu Selangor yang membantu Sultan mentadbir perkara berkaitan dengan agama Islam dan adat istiadat orang Melayu.

Hak dan kuasa Majlis, peraturan mesyuaratnya, penubuhan Jabatan Agama Islam, pelantikan Mufti dan Jawatankuasa Fatwa serta penubuhan Mahkamah Kadi juga disebut dalam enakmen itu. Aspek-aspek kekeluargaan diperuntukkan tetapi tidak terperinci.

Perkara yang dinyatakan melibatkan urusan pertunangan, perkahwinan, perceraian, pembubaran perkahwinan, harta sepencarian, penjagaan anak-anak, nafkah anak-anak dan isteri, anak sah taraf dan sebagainya. Kandungan Enakmen Pentadbiran 1952 sebenarnya lebih kepada menggabungkan berbagai-bagai undang-undang pentadbiran agama Islam. Dengan pewartaan Enakmen Pentadbiran 1952, maka ia menggantikan pemakaian kanun Muhammadan Enactment yang dikuatkuasakan.

Penggubalan Undang-undang Pentadbiran telah dilaksanakan di negeri-negeri lain iaitu Kelantan, Terenganu, Pahang, Pulau Pinang, Melaka, Negeri Sembilan, Kedah, Perlis dan akhirnya Perak.

Jika dikaji, peruntukan mengenai urusan perkahwinan dalam Enakmen Pentadbiran 1952 sebenarnya hampir sama dengan peruntukan yang ada dalam Muhammedan Marriage Ordinance.

Penggunaan ayatnya hampir sama kecuali perubahan kepada perkataan Pendaftaran dan Kadi sahaja.

Sudah sampai masanya kita mengembalikan kedudukan tinggi undang-undang Islam!

*Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia