Fahami putaran ganas ekonomi

A
A
A

LANGKAH kerajaan melanjutkan tiga bulan lagi tempoh moratorium pembayaran balik hutang bank oleh golongan yang benar-benar memerlukan tentunya dialu-alukan oleh penerima.

Tempoh lanjutan yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 29 Julai itu berkuat kuasa Oktober ini sebaik sahaja tempoh asal pada hujung September berakhir.

Lanjutan tersebut dikhususkan kepada peminjam yang kehilangan pekerjaan atau punca pendapatan akibat pandemik Covid-19.

Memandangkan hakikat bahawa keputusan itu mempunyai kesan sampingan yang besar ke atas kita semua, maka adalah baik kita mendalami dan memahaminya.

Menurut Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, nilai moratorium setakat 20 Julai lalu mencecah RM59 bilion dan memberi manfaat kepada seramai 7.7 juta orang atau 93 peratus peminjam perseorangan.

Maksudnya, dalam tempoh hampir empat bulan penangguhan bayar balik pinjaman berjalan, itulah jumlah yang ditangguhkan.

Jumlah itu adalah besar, jadi tidak hairanlah jika kesannya kepada sektor bank agak buruk. Tengku Zafrul sendiri mengaku bank akan kerugian sebanyak RM6.4 bilion akibat penangguhan tersebut. Ia berasaskan tempoh asal selama enam bulan mulai 1 April lalu.

Kita kena tahu dalam ekonomi, tidak ada apa pun yang sahih atau mutakhir. Ia adalah proses timbal balas berterusan. Orang dulu kata tolak, campur, darab dan bahagi. Adakala untung dan adakala rugi.

Artikel Berkaitan:

Sekarang orang yang melabur di bank atau saham amanah yang ada komponen bank di dalamnya rugi. Mula-mula sekali, harga hampir semua saham bank jatuh akibat kesan Covid-19 ke atas ekonomi. Keadaan bertambah buruk apabila moratorium dilaksanakan.

Rugi

Ambil contoh, saham Malayan Banking Berhad (Maybank). Harganya jatuh daripada RM8.30 pada 5 Mac kepada RM7.34 pada 2 April iaitu sehari selepas moratorium berkuat kuasa, kejatuhan sebanyak 96 sen atau hampir 12 peratus.

Pada 30 Julai lalu, harganya naik sikit kepada RM7.67. Sebagai perbandingan, harga saham Maybank pernah naik sehingga RM10.26 pada 25 Mei 2018.

Maybank adalah bank terbesar di Malaysia dan pemegang saham utamanya ialah Permodalan Nasional Berhad (PNB).

Jadi, apabila harga sahamnya jatuh, PNB rugi. Apabila PNB rugi, sesiapa saja yang melabur dalam skim amanah PNB seperti Amanah Saham Bumiputera (ASB) turut rugi.

Itulah dalam ekonomi kita panggil putaran ganas atau vicious cycle, satu tindakan akan menyebabkan tindak balas yang seterusnya.

Boleh dikatakan harga saham semua syarikat perbankan jatuh. Harga saham Bank Islam jatuh daripada RM3.94 pada 14 Februari lalu kepada RM3.24 pada 2 April tetapi naik semula kepada RM3.41 pada 30 Julai. Pemegang saham utama Bank Islam ialah Tabung Haji (TH)

Akibat kejatuhan harga saham tersebut, berbilion ringgit modal pasaran (market capitalisation) telah hilang. Semua pelabur yang pegang saham dalam syarikat perbankan rugi dari segi modal pasaran dan mungkin rugi juga dari segi pendapatan dividen.

Ia akan menitis dan menjejaskan orang ramai yang melabur atau menyimpan wang dengan badan-badan pelaburan seperti PNB, TH, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Kumpulan Wang Pencen (KWAP) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Sebelum Covid-19 pun, pulangan pelaburan saham-saham amanah kelolaan PNB dan dividen KWSP telah merosot akibat kejatuhan ekonomi nasional dan antarabangsa.

Jadi, dalam bahasa mudah, satu tindakan yang dianggap bertimbang rasa dan popular seperti moratorium bayaran balik pinjaman bank itu pun boleh memberi kesan buruk kepada ekonomi dan kebajikan rakyat.

Sebab itulah pengurusan ekonomi yang cekap dan bebas penyelewengan sangat penting. Maka, dalam konteks itu jugalah sesiapa yang mengkhianati ekonomi negara dan menipu duit rakyat wajib dihukum seberat-beratnya.

Mungkin banyak orang tidak tahu bahawa pinjaman RM4 bilion diambil SRC International daripada KWAP akhirnya akan jadi RM9.2 billion yang terpaksa ditanggung oleh setiap rakyat.

Wallahuaklam.

* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara