Tak boleh cuci tangan!

Windsor Paul John
Windsor Paul John
A
A
A

PENGURUSAN baharu yang mengambil alih sesebuah pasukan perlu berdepan dengan sebarang masalah termasuk isu hutang atau kontrak pemain memandangkan ia tanggungjawab yang harus digalas pihak persatuan.

Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Windsor Paul John berkata, pengurusan baharu tidak boleh sekadar ‘cuci tangan’ dan mengabaikan kontrak yang ditandatangani pemain dengan pengurusan sebelum ini.

“Pengurusan baharu tak boleh ‘cuci tangan’ kerana kontrak ditandatangani dengan persatuan. Siapa pun yang ambil alih persatuan, kena ambil baik dan buruk pasukan itu.

“Situasi itu bukan hanya dalam industri bola sepak sahaja, mana-mana industri pun sama. Contohnya jika kita beli kilang, kita kena terima baik dan buruk kilang tersebut sebab kita dah beli keseluruhan kilang tersebut,” katanya kepada Sinar Ahad semalam.

Menjelang saingan Liga-M yang akan kembali bersambung pada 26 Ogos ini, timbul berita beberapa pasukan seperti Kedah dan Kelantan dipalit dengan masalah kewangan sehingga gaji pemain tidak dilunaskan sejak beberapa bulan lalu.

---

Kedah adalah antara pasukan yang dihimpit masalah tunggakan gaji pemain ketika ini. - Foto Facebook Kedah FA
Kedah adalah antara pasukan yang dihimpit masalah tunggakan gaji pemain ketika ini. - Foto Facebook Kedah FA

Menurutnya situasi yang melanda beberapa pasukan Liga-M itu bukanlah perkara baharu dan beliau meminta setiap pihak bergerak bersama mencari hala tuju dan penyelesaian terbaik dalam menyelesaikan masalah itu.

Katanya, jika ia tidak diatasi dengan baik, masalah tersebut akan terus membelenggu pasukan-pasukan yang mempunyai bajet kecil dalam mengharungi saingan Liga-M pada masa akan datang.

Artikel Berkaitan:

“Sekarang ini situasinya masalah (kewangan) yang berlaku hanya ‘ditampung’ supaya ia tidak nampak rumit dan besar tanpa kita melihat dengan terperinci apa sebenarnya yang berlaku.

“Tetapi kita harus tahu apa sebenarnya penyebab pasukan yang mempunyai masalah kewangan? Itu yang patut dicari. Sebenarnya ubatnya adalah sesebuah kelab itu harus diuruskan secara profesional.

“Setiap pasukan dan pengurusan perlu mempunyai 'mind set' profesional. Disebabkan itu pasukan perlu berubah menjadi pasukan (berstatus) kelab dan bukan terus bernaung di bawah persatuan. Persatuan ini mempunyai objektif berbeza berbanding kelab,” katanya.