Miliki rokok seludup, dua warga Indonesia dipenjara enam bulan

No Image Caption
A
A
A

PETALING JAYA - Dua pekerja kedai runcit warga Indonesia masing-masing dihukum penjara enam bulan dan diperintahkan membayar duti import kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, kerana memiliki 17,754 batang rokok seludup pelbagai jenama bernilai RM1,770.40, minggu lalu.

Riska Putri, 20 dan Hendra, 35, dijatuhi hukuman itu selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Mohd Nor Hafidzuddin Yusoff.

Kedua-dua tertuduh diperintahkan menjalani hukuman penjara bermula tarikh tangkapan, iaitu pada 17 Januari lalu.

Mahkamah juga memerintahkan Riska membayar duti import berjumlah RM2,068, manakala Hendra berjumlah RM1,815.20 kepada Ketua Pengarah JKDM atau masing-masing penjara tujuh hari jika mereka gagal membayar duti import berkenaan.

Mengikut pertuduhan, Riska didakwa memiliki barangan larangan import, iaitu 446 paket rokok daripada 48 jenama berbeza bernilai RM944.96 di Al Hafiq Enterprise, G-57, Jalan PUJ 3/9, Taman Puncak Jalil, Seri Kembangan, di sini, pada 7.37 malam, 17 Januari lalu.

Hendra pula dituduh memiliki barangan larangan import, iaitu 371 paket rokok daripada 20 jenama berbeza bernilai RM825.44 di tepi jalan berhadapan Pangsapuri Enggang, Jalan Kinrara 6F, Bandar Kinrara Puchong, di sini, pada 7 malam, tarikh sama.

Pertuduhan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih 20 kali ganda nilai barang atau RM500,000, atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, Riska yang diwakili peguam Mohd Syazwan Mohd Hassan memohon hukuman ringan atas alasan anak guamnya mahu pulang ke negara asal manakala Hendra yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan kerana isterinya baru sebulan melahirkan anak.

Artikel Berkaitan:

Pegawai Pendakwa JKDM Mohd Nafizi Ramli memohon hukuman setimpal untuk memberi pengajaran kepada kedua-dua tertuduh yang merupakan warga asing sepatutnya mempunyai rasa hormat terhadap undang-undang Malaysia.

"Saya turut memohon mahkamah mempertimbangkan faktor ketirisan hasil negara berikutan tiada duti import dikenakan terhadap barangan yang dijumpai," katanya.

Di mahkamah sama, lelaki warga Pakistan, Hussain Abid, 24, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memiliki 152 paket rokok haram daripada 13 jenama berbeza antaranya Zon King, Luffman dan Gudang Garam berjumlah RM256.80 di premis Pasar Raya Syed, G-1-8, Blok G, Pangsapuri Enggang, Bandar Kinrara, Puchong, di sini, pada 7 malam, 17 Jan lalu.

Mohd Nor Hafidzuddin membenarkan Hussain yang diwakili peguam Sri Murugan diikat jamin RM3,500 dengan seorang penjamin warganegara Malaysia berserta syarat tambahan melaporkan diri ke Bahagian Penguatkuasaan JKDM di Pelabuhan Klang, Selangor sebulan sekali dan pasport diserahkan ke mahkamah sehingga kes selesai dan 13 Feb ditetapkan untuk sebutan semula kes. - Bernama