Sapok julang maruah negara

Sapok bangga dengan kejayaan yang dilakarnya dalam sukan tinju dan mengakui segala usaha untuk memperoleh kejayaan itu tidak dapat dilakukan sekiranya Malaysia tidak berada dalam keadaan bebas, merdeka dan aman.
Sapok bangga dengan kejayaan yang dilakarnya dalam sukan tinju dan mengakui segala usaha untuk memperoleh kejayaan itu tidak dapat dilakukan sekiranya Malaysia tidak berada dalam keadaan bebas, merdeka dan aman.
A
A
A

KUCHING - Kejayaan memenangi pingat emas pada Sukan Komanwel Kuala Lumpur 1998, temasya sukan kedua terbesar dunia selepas Sukan Olimpik melonjakkan nama Sapok Biki dan sukan tinju negara yang sebelum ini hanya dianggap sebagai acara sukan pelengkap.

Walaupun pernah mewakili negara pada Sukan Olimpik Atlanta pada tahun 1996, dua tahun sebelum Sukan Komanwel Kuala Lumpur berlangsung, nama Sapok agak kurang dikenali oleh peminat sukan di Malaysia kecuali individu yang benar-benar mengikuti sukan tinju.

"Pada masa itu saya tidak berapa menyerlah, mungkin disebabkan sukan tinju adalah satu sukan yang masih belum mendapat tempat dalam kalangan peminat sukan tanah air.

"Tetapi selepas Sukan Komanwel (mula dikenali) mungkin disebabkan faktor Malaysia sebagai tuan rumah dan kejayaan saya sebagai pemenang emas terakhir dalam temasya sukan tersebut," katanya.

Sapok yang berusia 46 tahun mula berkecimpung dalam sukan tinju pada tahun 1994 sebelum dipilih sebagai antara atlet pada Program Jaya 98 di bawah kendalian Majlis Sukan Negara (MSN) untuk menghadapi temasya Sukan Komanwel Kuala Lumpur.

Katanya, ketika itu sukan tinju bukanlah acara sukan yang diletakkan harapan tinggi untuk memenangi sebarang pingat pada Sukan Komanwel, namun dengan semangat kental dia telah meletakkan dirinya sebagai pakej kejutan, seterusnya mengubah landskap sejarah sukan tanah air.

Walaupun kejayaan yang dilakarnya itu sudah lebih dua dekad berlalu, namun Sapok berkata, segala usaha untuk memperoleh kejayaan itu tidak dapat dilakukan sekiranya negara tidak berada dalam keadaan bebas, merdeka dan aman.

"Saya sebagai bekas atlet, kita dapat menjalankan aktiviti seharian tanpa perlu rasa risau dan kita tidak ada kekangan daripada sesiapa untuk melakukan aktiviti seharian termasuk bersukan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sapok berkata, usaha untuk melakar kejayaan dalam pelbagai bidang termasuk sukan adalah mustahil untuk dilakukan jika negara berada dalam keadaan kacau-bilau dan masih dijajah kuasa asing yang pastinya mahu menindas serta mengambil kesempatan atas ketidakstabilan sesebuah negara itu.

"Kita tengok kejayaan atlet kita sebagai contoh, kalau mereka hendak bersukan, mereka boleh berjaya dan kalau mereka hendak bekerja, boleh sampai ke tahap tertinggi.

"Ini kerana negara kita aman, mempunyai ekonomi dan struktur pentadbiran yang stabil, jadi semua orang seperti atlet boleh bersukan dengan tenang dan masyarakat boleh bekerja dengan aman damai," katanya.

Beliau berkata, setiap lapisan masyarakat di Malaysia tanpa mengira status sosial harus menghargai nilai sebuah kebebasan dan kemerdekaan yang sedang dikecapi kerana generasi terdahulu melakukan pengorbanan amat besar untuk memperolehnya.

Menurutnya, Rukun Negara yang menjadi asas kepada perpaduan di Malaysia juga perlu diperhalusi dan dihayati supaya kesepaduan dan kebersamaan yang wujud dalam masyarakat Malaysia dapat terus kekal serta diperkukuhkan lagi.

"Setiap prinsip yang terdapat dalam Rukun Negara mempunyai makna yang besar dan kalau kita hayati sepenuhnya, kita pastinya akan berasakan bahawa kita adalah orang yang bertuah dapat duduk sama menjadi rakyat Malaysia," katanya.

Sebagai seorang pegawai tentera yang masih dalam perkhidmatan, beliau berkata, perjuangan bagi mempertahankan sebuah kebebasan adalah sebuah perjuangan yang tidak pernah selesai.

"Rakyat atau diri kita sendiri harus mendisiplinkan diri dan sentiasa bersyukur serta berterima kasih kepada apa yang telah kita peroleh dan kecapi daripada hasil perjuangan generasi terdahulu.

"Generasi masa kini pula harus meneruskan perjuangan tersebut supaya negara kita boleh maju dan terus membangun," katanya.

Justeru, nasihat beliau, generasi muda kini harus didedahkan dengan lebih banyak material yang mempunyai unsur-unsur patriotik agar mereka tidak alpa bahawa kebebasan yang mereka miliki itu bukan sesuatu yang diperoleh secara percuma. - Bernama