X

Kindly register in order to view this article
!

'Tuntutan ke atas Sabah bukti kecetekan sejarah, undang-undang'

Anifah Aman
A
A

SHAH ALAM - Bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman membidas dakwaan Setiausaha Luar Negeri Filipina, Teodoro Locsin Jr yang menyatakan Sabah bukan sebahagian daripada Malaysia.

Menurut Anifah, Sabah sekian lama diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan masyarakat antarabangsa sebagai sebahagian daripada Malaysia sejak penubuhan Persekutuan pada 16 September 1963.

"Saya selalu menyatakan bahawa kami tidak mengiktiraf dan tidak akan memenuhi tuntutan oleh mana-mana pihak ke atas Sabah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kenyataan Locsin hanya mendedahkan kecetekan sejarah, undang-undang antarabangsa serta berpotensi merosakkan hubungan dua hala yang baik antara Malaysia dan Filipina.

"Sabah sebahagian daripada Malaysia dan akan sentiasa seperti itu," katanya.

Sementara itu, bekas Ketua Menterk Sabah, Datuk Seri Musa Aman juga turut mengkritik tuntutan tersebut dengan mengatakan bahawa ia tidak perlu dilayani.

"Sabah sebahagian daripada Persekutuan Malaysia dan tidak ada pertikaian mengenai perkara ini.

"Saya mendesak Filipina termasuk menteri luarnya untuk menghentikan naratif jenis ini untuk tujuan politik dalamannya kerana tidak baik untuk hubungan dua hala dalam negara-negara ASEAN," katanya dalam satu kenyataan berasingan hari ini.

Musa turut menyorot kes Mahkamah Tinggi kerajaan Malaysia baru-baru ini dengan Nurhima Kiram Fornan & Ors, di mana keputusan hakim Martin Idang menjelaskan bahawa Sabah sebahagian daripada Malaysia dan tidak ada negara lain yang mempunyai hak atau kuasa atas urusan negeri itu.

Musa menambah bahawa rakyat Sabah memilih untuk menjadi sebahagian daripada Persekutuan Malaysia kerana mereka telah menikmati keamanan, kestabilan dan kemakmuran ekonomi di negara ini.

"Oleh itu, izinkan saya sekali lagi menyatakan dengan jelas bahawa kita tidak mengiktiraf atau mengakui sebarang tuntutan Filipina terhadap Sabah," katanya.

Sebelum ini, Locsin menerusi ciapan di Twitter berkata bahawa Sabah bukan sebahagian daripada Malaysia sebagai membalas ciapan Kedutaan Amerika Syarikat di Filipina yang menyiarkan gambar ketika memberi bantuan kepada rakyat Filipina yang dihantar dari Sabah.

"Sabah bukan dalam Malaysia jika anda ingin mempunyai kaitan dengan rakyat Filipina," katanya.

Susulan itu, Menteri Luar Negeri Hishammuddin Hussein membidas Locsin kerana mengeluarkan kenyataan tidak bertanggungjawab yang mempengaruhi hubungan dua hala.

Hishammuddin menambah bahawa Wisma Putra akan memanggil duta besar Filipina untuk mendapatkan penjelasan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus