Pas, UMNO Selangor serah senarai nama ketua kampung

Noh (tiga dari kanan) bersama penduduk menumbangkan seekor lembu pada lawatan ibadah korban di Masjid Ar Rahmah, Batu 12 Sungai Burong di sini hari ini.
Noh (tiga dari kanan) bersama penduduk menumbangkan seekor lembu pada lawatan ibadah korban di Masjid Ar Rahmah, Batu 12 Sungai Burong di sini hari ini.
A
A
A

TANJONG KARANG - UMNO dan Pas melalui kerjasama Muafakat Nasional (MN) sudah menyerahkan senarai cadangan nama pelantikan ketua kampung Persekutuan di negeri ini kepada Pengerusi Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, penyerahan senarai 401 nama tersebut dilakukan beliau dan Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi bersama setiausaha parti masing-masing kira-kira sebulan lalu.

Menurutnya, selain dari UMNO dan Pas, senarai nama tersebut turut melibatkan individu dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu)

"UMNO dan Pas tidak tamak dalam pengagihan jawatan ketua kampung ini kerana turut memberikan kuota kepada Bersatu.

"Boleh dikatakan semua Parlimen ada kuota untuk jawatan ketua kampung Persekutuan dari Bersatu misalnya di Tanjong Karang kita beri tiga atau empat jawatan ketua kampung kepada Bersatu," katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ibadah korban di Masjid Ar Rahmah, Batu 12 Sungai Burong di sini semalam.

Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang berkata, senarai nama tersebut diambil berdasarkan cadangan daripada UMNO dan Pas di peringkat bahagian serta kawasan masing-masing.

Katanya, beberapa ketetapan dibuat antaranya pelantikan seseorang ketua kampung itu mestilah dalam kalangan penduduk asal dan secara prinsipnya seseorang yang hendak jadi ketua kampung mesti menetap di kampung terbabit.

"Tak boleh lagi ahli satu parti hendak cukupkan kuota ketua kampung, mereka bawa pemimpin luar untuk dilantik ke jawatan itu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Noh turut yakin kerjasama UMNO, Pas dan komponen Barisan Nasional (BN) mampu merampas semula beberapa kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasan bandar di negeri ini pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

"Saya yakin sekiranya semangat (Pilihan Raya Kecil DUN) Semenyih terus dibangkitkan, kita ada peluang untuk meraih kemenangan di kerusi bandar," katanya.

Beliau berkata, MN juga dapat menyelesaikan kira-kira 90 peratus agihan kerusi Parlimen dan DUN di negeri ini bagi menghadapi PRU15.

"Kami hanya memberi cadangan dan pada dasarnya telah bersetuju dalam agihan kerusi tersebut.

"Bagaimanapun, keputusan (agihan kerusi) ini belum peringkat akhir lagi kerana ia akan diputuskan di peringkat Pusat," katanya.