Kerajaan jangka kos PRN Sabah naik dua kali ganda

Takiyuddin Hassan
Takiyuddin Hassan
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan menjangkakan perbelanjaan untuk proses Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah meningkat dua kali ganda berbanding kebiasaan berikutan ia berlangsung ketika pasca pandemik koronavirus (Covid-19).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan berkata, perbelanjaan itu meliputi penggunaan dakwat celup yang berbeza dengan kaedah biasa, penggunaan sanitasi, elaun petugas dan keluasan kawasan pilihan raya.

Beliau bagaimanapun berkata, perkara berkaitan prosedur operasi standard (SOP) akan dibincangkan dalam satu mesyuarat bersama dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) di Parlimen hari ini.

“Saya boleh sahkan yang pilihan raya pada pasca Covid-19 ini melibatkan kos yang lebih tinggi. Saya difahamkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bahawa perbelanjaan dakwat untuk celup jari tidak boleh digunakan sebagaimana biasa. Mungkin perlu gunakan dakwat yang banyak.

“Kemudian proses untuk sanitasi, penyediaan tempat, penjarakan dan sebagainya mungkin makan masa yang lama menyebabkan elaun pun bertambah. Kerajaan terpaksa tambah peruntukan untuk pilihan raya ini," katanya kepada pemberita pada program agihan daging korban Parlimen Kota Bharu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Mas di sini hari ini.

Takiyuddin berkata, kerajaan akan menyusun SOP yang terbaik untuk PRN Sabah bagi memastikan semuanya berjalan lancar selain mengelakkan wujudnya kluster baharu Covid-19.

Beliau berkata, PRN Sabah tidak boleh dielakkan dan perlu mengambil kira peruntukan yang termaktub dalam Perlembagaan Sabah serta Perlembagaan Persekutuan selepas pembubaran DUN.

Pada Khamis lalu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal memaklumkan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin memperkenan permohonan beliau untuk pembubaran DUN Sabah.

Artikel Berkaitan:

Dalam sidang media khas di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah di Kota Kinabalu itu, Mohd Shafie berkata, pilihan raya negeri akan diadakan dalam tempoh 60 hari.

Tindakan itu susulan bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman Musa menerusi peguamnya memaklumkan sudah menyerahkan 33 Akuan Bersumpah (SD) dibuat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kepada Tun Juhar untuk mengambil alih tampuk kepimpinan kerajaan Sabah.

Susulan sokongan yang diperolehnya, Musa dilaporkan berkata, tiada sebab kukuh untuk DUN Sabah dibubarkan bagi memberi laluan kepada PRN kerana hanya membuang masa dan wang ketika Covid-19 masih melanda yang berpotensi membahayakan rakyat.