'Tuntutan Filipina terhadap Sabah tidak perlu dilayan'

Musa Aman
Musa Aman
A
A
A

KOTA KINABALU - Sebarang tuntutan oleh Filipina atau pihak lain di Sabah ke atas negeri itu tidak boleh diakui dan dilayan.

Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman menyifatkan Sabah adalah sebahagian daripada Persekutuan Malaysia dan tidak ada pertikaian mengenai perkara itu.

“Saya mendesak Filipina termasuk menteri luarnya menghentikan naratif seperti ini untuk tujuan politik dalamannya kerana tidak baik untuk hubungan dua hala dalam anggota ASEAN.

“Kes Pengadilan Tinggi Pemerintah Malaysia vs Nurhima Kiram Fornan & Ors (2020) baru-baru ini, keputusan Hakim Martin Idang menjadikannya jelas bahawa Sabah dalam Malaysia dan tiada bangsa lain yang mempunyai hak atau kuasa menguruskan hal ehwal Sabah.

“Kita tidak mengiktiraf atau mengakui sebarang tuntutan oleh Filipina terhadap Sabah,” kata Musa dalam kenyataannya hari ini.

Pada 27 Julai lalu, Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina, Teodoro Locsin Jr mendakwa Sabah bukan sebahagian daripada Malaysia pada ketika Sabah dalam keadaan 'kalut' dengan isu kehangatan pertukaran kerajaan negeri.

Kenyataan Locsin di laman Twitternya itu sebagai reaksi terhadap kedutaan Amerika Syarikat di Filipina sekali gus turut mengundang reaksi negatif daripada rakyat Malaysia.

Susulan itu Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengarahkan Wisma Putra untuk memanggil Duta Besar Filipina di Kuala Lumpur bagi menjelaskan kenyataan yang menyentuh mengenai kedaulatan Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Hishammuddin kemudiannya membalas kenyataan tersebut sambil menyifatkan dakwaan Locsin itu sebagai 'satu kenyataan yang tidak bertanggungjawab'.

Sebagai rekod, Sabah, Sarawak, Persekutuan Tanah Melayu dan Singapura membentuk Malaysia pada tahun 1963 di bawah perjanjian antarabangsa yang disebut Perjanjian Malaysia 1963.

Bagaimanapun kontroversi pemimpin Filipina menuntut Sabah tidak pernah berakhir dan Presiden Filipina, Rodrigo Duterte pada 2016 turut meluahkan niatnya meneruskan tuntutan ke atas Sabah.

Pada Februari 2019, Duta Filipina ke Malaysia, Charles Jose ketika kembali melawat Ketua Menteri Sabah ketika itu, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal turut bertegas mengekalkan tuntutan Filipina terhadap Sabah.

Bagaimanapun, Filipina dan Sabah bersetuju menjalin kerjasama menangani berkaitan dengan jumlah warga negara itu yang tidak memiliki sebarang dokumen yang tinggal di Sabah.

Wisma Putra kemudiannya mengeluarkan satu kenyataan menegaskan Sabah ialah sebahagian daripada Malaysia, seperti diiktiraf Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan masyarakat antarabangsa sejak pembentukan Persekutuan pada 16 September 1963.

Sejak 2018 ketika Datuk Sri Anifah Aman menjadi Menteri Luar beliau adalah Menteri paling tegas menolak tuntutan Filipina terhadap Sabah dan tidak ada istilah berunding mengenai hak Malaysia terhadap wilayahnya.