Herba campuran, kaktus dirampas

Antara barangan yang dirampas di Pejabat Pos Bukit Mertajam.
Antara barangan yang dirampas di Pejabat Pos Bukit Mertajam.
A
A
A

BUTTERWORTH - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) berjaya menggagalkan cubaan membawa masuk herba campuran dan pokok kaktus di Pejabat Pos Malaysia, Bukit Mertajam, Rabu lalu.

Pengarahnya, Zarina Ramli berkata, pemeriksaan yang dilakukan dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya mengesan barangan itu yang dibawa masuk tanpa sebarang dokumen permit import yang sah oleh Maqis dan sijil fitosanitasi.

Menurutnya, keluaran pertanian itu dirampas selepas pemeriksaan di pusat mel dan kurier mendapati terdapat beberapa bungkusan berisi pelbagai jenis herba campuran yang diimport dari China dan Hong Kong.

"Pemeriksaan lanjut menemui sebanyak 1,750 gram herba campuran yang bernilai RM470 serta satu kotak bungkusan mengandungi tiga unit pokok kaktus yang diimport dari Itali dengan nilai dagangan sebanyak RM590," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Herba tradisional yang dirampas Maqis.
Herba tradisional yang dirampas Maqis.

Beliau berkata, pihaknya turut mengesan dua warga tempatan yang cuba membawa masuk 360 paket makanan tambahan haiwan dari Netherland bernilai RM1,270 untuk tujuan pasaran.

"Maqis mendapati pengimportan tersebut tiada sebarang dokumen yang sah seperti Permit Import dan Sijil Akta Makanan Haiwan 2009.

"Perbuatan mengimport apa-apa keluaran pertanian dan makanan haiwan tanpa permit import yang sah adalah menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang boleh di hukum di bawah Seksyen 11(3), akta yang sama.

Artikel Berkaitan:

"Jika sabit kesalahan, individu boleh didenda tidak melebihi satu ratus ribu ringgit atau dipenjarakan tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali," katanya,.