Solskjaer hero sebenar United

Solskjaer berjaya menukar prestasi kurang memuaskan United kembali menjadi sebuah pasukan yang konsisten.
Solskjaer berjaya menukar prestasi kurang memuaskan United kembali menjadi sebuah pasukan yang konsisten.
A
A
A

BEKAS penyerang Manchester United, Dimitar Berbatov memuji impak yang berjaya dibawa pengendali The Red Devils, Ole Gunnar Solskjaer sehingga mampu kembali menjadi sebuah pasukan yang digeruni dalam saingan Liga Perdana inggeris (EPL).

Menurutnya, Solskjaer telah membuktikan kemampuannya menukar prestasi kurang memuaskan United sebelum ini sehingga mampu kembali menjadi sebuah pasukan yang konsisten mencatatkan keputusan positif dalam setiap perlawanan.

"Saya gembira dengan apa yang United telah lakukan dan mencapai sasaran mereka untuk layak ke Liga Juara-Juara musim depan. Mereka menewaskan Leicester City dan mereka sangat layak untuk beraksi dalam aksi tertinggi Eropah itu musim depan.

"Sudah tentu akan menjadi persoalan, tetapi secara keseluruhanya semua tahu seseorang pengurus itu memerlukan masa untuk mencari rentak. Sentiasa ada halangan, tetapi sudah tentu ia diatasai dengan baik dan Ole sudah membuktikannya.

"Untuk musim depan, keadaan akan bertambah sukar kerana akan beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara. Ole sudah tentu akan dikritik lagi jika kalah, tetapi untuk masa sekarang kita perlu gembira dengan apa yang telah diusahakan. Saya rasa pemain sukakannya dan ia dipamerkan dalam aksi setiap perlawanan," katanya.

United berjaya mengakhiri saingan EPL di kedudukan ketiga liga dan layak ke saingan Liga Juara-Juara musim depan selepas menewaskan Leicester City 2-0 dalam aksi terakhir liga di Stadium King Power baru-baru ini.

The Red Devils memulakan saingan EPL musim ini dengan prestasi kurang memberangsangkan dan tercampak keluar daripada kedudukan empat pasukan terbaik, namun segalanya berubah dengan impak yang dilakukan Solskjaer termasuk membeli Bruno Fernandes pada Januari lalu.

Pasukan gergasi England itu melakar prestasi cemerlang memenangi sembilan perlawanan daripada 14 perlawanan terakhir - aksi positif yang ditunjukkan selepas saingan liga ditangguhkan akibat Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Dalam masa sama, Berbatov percaya Solskjaer berjaya membentuk suasana harmoni dalam bilik persalinan yang sebelum ini dilaporkan agak tegang dengan perseturuan beberapa pemain utama pasukan.

"Ole berjaya bukan sahaja mencatat keputusan positif tetapi juga membawa keharmonian dalam pasukan. Hasilnya keputusna positif berjaya dicapai.

"Saya yakin lebih ramai pemain yang akan datang ke United dengan suasana begini dan pasukan akan kembali menjadi yang terbaik di Eropah," katanya.