Indeks jenayah negara catat penurunan

Mohamad Fuzi bermesra bersama pengunjung Berjaya Time Square selepas Program Ronda Jenayah.
Mohamad Fuzi bermesra bersama pengunjung Berjaya Time Square selepas Program Ronda Jenayah.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Indeks jenayah negara tahun lalu mencatatkan penurunan sebanyak 11.9 peratus bersamaan 11,949 kes.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, sebanyak 88,662 kes jenayah dilaporkan dalam tempoh tersebut.

"Semua negeri di Malaysia telah mencatatkan penurunan kes mengikut nilai ambang yang ditetapkan.

"Daripada jumlah itu, curi motosikal menjadi penyumbang tertinggi dengan 26,779 kes atau 30.3 peratus dan diikuti dengan kes-kes lain iaitu 19,927 kes," katanya dalam sidang media selepas Program Ronda Jenayah di Berjaya Times Square di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPKK) Bukit Aman, Datuk Seri Rosly Ab Rahman, Pengarah Jabatan Ketenteraman Awam dan Keselamatan Dalam Negeri (KDNKA), Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim.

Mengulas lanjut, beliau berkata, hasil kejayaan ini, telah menjadikan Malaysia menduduki tangga ke-25 negara paling aman di dunia menerusi laporan Indeks Keamanan Global (GPI) 2018.

Tambahnya, bagi kontinjen Kuala Lumpur kadar jenayah menurun sebanyak 10.9 peratus atau 1,481 kes daripada dengan jumlah keseluruhan 12,127 kes dilaporkan.

"Selain itu, dalam usaha mengurangkan kadar indeks, PDRM turut menempatkan pelatih dari Pusat Latihan Polis (Pulapol) dengan pemantauan anggota dan pegawai polis bagi program pencegahan jenayah," katanya.

Artikel Berkaitan: