186 ditahan ingkar PKPP - Ismail Sabri

Ismail Sabri Yaakob 
- Foto Bernama
Ismail Sabri Yaakob 
- Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 186 individu ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) semalam, atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata daripada jumlah itu 41 individu direman dengan tiga individu dijamin, manakala 142 individu pula dikenakan kompaun.

“Kesalahan ingkar arahan PKP itu termasuk aktiviti pusat urut tanpa lesen (dua), aktiviti yang tidak mengikuti prosedur operasi standard (SOP) (59), aktiviti dengan melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan fizikal (124) dan langgar Perintah Pengawasan Dan Pemerhatian Di Rumah (HSO) (satu),” katanya dalam kenyataan.

Ismail Sabri berkata PDRM juga melakukan 1,942 pemeriksaan terhadap individu yang sedang menjalankan kuarantin wajib 14 hari di kediaman masing-masing.

Katanya, seramai 2,800 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dari 24 Julai hingga semalam dan mereka ditempatkan di 16 stesen kuarantin di Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Kelantan, Selangor, Pulau Pinang, Sarawak dan Johor.

“Daripada jumlah itu, seramai 11 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan,” katanya.

Mengenai Operasi Benteng, Ismail Sabri berkata PDRM membuat 59 sekatan jalan raya dan memeriksa 41,748 kenderaan bagi mengekang kemasukan pendatang tanpa izin terutamanya di lorong-lorong tikus.

Bagi Pasukan Petugas Operasi Pematuhan pula, sebanyak 60,038 pemeriksaan bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan SOP PKP Pemulihan sehingga semalam, katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, mengenai tapak binaan, beliau memaklumkan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) membuat pemeriksaan di 15 tapak binaan di seluruh negara, semalam dan mendapati 12 daripadanya patuh pada SOP yang ditetapkan, satu tapak binaan tidak patuh SOP dan diberikan amaran manakala dua tapak binaan lagi didapati tidak beroperasi.

“Sementara itu, kesemua 19 tapak binaan yang diarahkan tutup oleh CIDB sebelum ini, dibenarkan untuk beroperasi sepenuhnya setelah tapak-tapak tersebut mematuhi SOP dan garis panduan yang ditetapkan,” katanya. -Bernama