SPRM Perak giat beri penerangan liabiliti korporat

Seow Heng menyerahkan IBR yang sudah ditandatangani kepada Ahmad Shukri.
Seow Heng menyerahkan IBR yang sudah ditandatangani kepada Ahmad Shukri.
A
A
A

BATU GAJAH - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak mempergiat usaha memberi penerangan kepada syarikat-syarikat korporat di negeri ini berhubung peruntukan liabiliti korporat yang akan dikuatkuasakan, tahun depan.

Timbalan Pengarah (Pencegahan) SPRM negeri, Ahmad Shukri Mohamad Taib berkata, ketika ini masih banyak organisasi korporat dan swasta belum menyelaraskan prosedur syarikat mereka berkaitan langkah pencegahan rasuah.

Menurutnya, SPRM negeri akan bekerjasama dengan Institut Integriti Malaysia (IIM) dalam usaha memberi penerangan dan pelaksanaan prosedur yang perlu dilakukan syarikat, sementara Pengurusan Risiko Rasuah (CRM) dijalankan di peringkat ibu pejabat mengikut modul tertentu.

“SPRM kena turun padang memberi taklimat dan melaksanakan program bagi membolehkan syarikat ini mampu mengendalikannya kerana ia memerlukan masa sebelum dapat dilaksanakan.

“Sekarang ini pun kita ada menerima permohonan daripada agensi-agensi luar yang mahu penerangan lanjut penguatkuasaan undang-undang ini dan kita akan lakukannya secara berperingkat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Ikrar Bebas Rasuah (IBR) Kakitangan Pusat Pembangunan Usahawan dan Kemahiran Perak (PESDC), hari ini.

Pengenalan Akta Liabiliti Korporat mengikut Seksyen 17(A) Akta SPRM 2009 (Pindaan 2018) itu akan memasukkan undang-undang berkaitan liabiliti korporat yang mewajibkan syarikat bertanggungjawab sekiranya kakitangan terbabit rasuah, namun organisasi komersial akan mempunyai sistem pertahanan penuh jika telah melakukan prosedur pencegahan rasuah.

Ahmad Shukri berkata, program IBR yang diperkenalkan pada 2017 itu juga antara insentif pelaksanaan penguatkuasaan liabiliti korporat.

Artikel Berkaitan:

“Jika berlaku kes rasuah dilakukan kakitangan dan kita dapati pihak pengurusan melakukan inisiatif tertentu seperti IBR dan CRM, maka SPRM tidak boleh menyalahkan pihak atasan.

“Bagaimanapun, sekiranya tiada langkah-langkah itu, maka kesalahan dilakukan kakitangan itu boleh dipertanggungjawabkan dan dikaitkan dengan kepentingan pihak syarikat,” katanya.

Menurutnya, tahun lalu sebanyak 45 agensi di Perak telah melaksanakan program IBR berbanding 132 agensi tahun sebelumnya dan PESDC adalah agensi pertama yang melaksanakannya tahun ini.

Dalam majlis berkenaan, seramai 30 kakitangan PESDC membacakan ikrar IBR diketuai Pengurusnya, Mohd Fadzil Ahmad Sapli.

Turut serta, Bendahari PESDC, Tan Seow Heng dan Ahli Lembaga, Tony Cheam Swee Aik.