Tanpa Rajinikandh, Khairul Anuar siapalah Shukor Adan

Shukor Adan - Foto Kuala Lumpur Hawks
Shukor Adan - Foto Kuala Lumpur Hawks
A
A
A

“Tanpa B Rajinikandh dan Khairul Anuar Baharom, mungkin saya pemain yang berbeza dan saya mahu ucapkan terima kasih kepada mereka berdua kerana telah membentuk ‘Shukor Adan’ yang dikenali seperti hari ini, ” demikian pendedahan eksklusif pemain paling berpengalaman di kancah Liga Malaysia (Liga-M), Shukor Adan.

Menurut Shukor, dia rasa bertuah kerana mendapat tunjuk ajar Rajinikandh dan Khairul Anuar ketika berada di Negeri Sembilan pada 1998 bersama skuad Piala Presiden dengan mengakui karakter mereka berdua begitu banyak mempengaruhi dirinya.

Rajinikandh banyak membimbingnya dalam soal kepimpinan di atas padang serta pembacaan bola dalam permainan sementara Khairul lebih terserlah dalam semangat juang yang tidak kenal erti mengaku kalah.

Dua aspek ini membentuk acuan kepada Shukor Adan sehingga ciri kepimpinannya cukup disegani serta mampu bertindak selaku pemain pertahanan tengah yang konsisten sehingga ke hari ini.

“Kalau hendak dikongsikan tentang siapa pemain yang banyak membimbing saya sebagai pemain bola sepak, ada dua pemain yang cukup istimewa iaitu Rajinikandh dan Khairul Anuar.

“Masa awal pembabitan saya di Negeri Sembilan, Rajinikandh bagi saya adalah seorang pemain yang ada aura tersendiri sebagai seorang ketua di atas padang walaupun dia bukan seorang yang banyak cakap.

“Namun dia banyak mengajar saya cara membaca permainan yang betul tambahan pada waktu itu saya beraksi di bahagian tengah dan saya cukup rasa bertuah kerana mendapat tunjuk ajar daripadanya.

“Khairul pula menjadi contoh dalam soal semangat juang buat pasukan apabila karakternya yang cukup keras dan tidak kenal erti mengaku kalah, begitu mengagumkan.

Artikel Berkaitan:

“Siapa sahaja yang kami jumpa di atas biarpun mereka adalah kawan di luar padang, Khairul selalu ingatkan pedulikan itu semua kerana apa yang penting adalah kemenangan buat pasukan bila turun beraksi, ” katanya dipetik dari laman Facebook Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Rajinikandh dan Khairul Anuar antara dua pemain Pilihan Best XI Shukor Adan dengan kedua-duanya bermain di bahagian pertahanan tengah sementara pertahanan kiri adalah Rosdi Talib dan S Kunanlan di bahagian pertahanan kanan, diikuti Azmin Azram Abdul Aziz sebagai penjaga gol.

Berdasarkan formasi 4-3-3, Norhafiz Zamani Misbah mengemudi bahagian tengah bagi aspek bertahan manakala dua lagi pemain ialah Yusri Che Lah dan Luciano Figueroa.

Penyerang menjadi pilihan Shukor ialah Azman Adnan sementara Safawi Rasid dan Indra Putra Mahayuddin di bahagian sayap.

Satu lagi sisi menarik buat Shukor yang mungkin tidak ramai ketahui ialah dia sebenarnya memulakan karier sebagai penyerang ketika di awal pembabitan bersama Negeri Sembilan sebelum bermain di bahagian tengah dan pertahanan pada 2009.

Justeru, tidak hairanlah Azman Adnan juga merupakan seorang lagi pemain kesukaan Shukor ketika dia berjaya menempatkan diri dalam skuad utama pada 2000.

“Dia sememangnya idola saya ketika saya hadir di Negeri Sembilan malah hubungan kami umpama abang adik sehingga kami ke Selangor pada 2002 dan saya cukup mengaguminya sehingga sekarang.

“Azman sememangnya seorang penyerang tulen yang terbaik kita pernah miliki dan masih ingat lagi pada 2000, saya bertuah dapat diletakkan dalam kesebelasan utama bersamanya.

“Saya diletakkan posisi pemain tengah menyerang bagi membantu Azman Adnan dan Effendi Malek, selaku dua penyerang pada waktu di Negeri Sembilan, memang antara pengalaman awal yang saya tidak boleh lupakan,“ katanya.