X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 30 Jun 2022

Agong, Permaisuri berangkat ke majlis ulang tahun keputeraan Seri Paduka

Agong, Permaisuri berangkat ke majlis ulang tahun keputeraan ke-61 Seri Paduka. - Foto Facebook MB Pahang, Wan Rosdy bin Wan Ismail
A
A

KUANTAN - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar duli berangkat ke Majlis Kesyukuran dan Doa Selamat Sempena Memuliakan Ulang Tahun Keputeraan ke-61 Seri Paduka di Masjid Sultan Ahmad 1 di sini, hari ini.

Keberangkatan tiba Seri Paduka dengan diiringi Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah pada 6.30 petang disambut oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Turut berangkat ialah anakanda-anakanda Seri Paduka berdua termasuk Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah dan adinda Seri Paduka iaitu Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah dan Tengku Arif Temenggong Pahang, Tengku Fahd Mua'adzam Sultan Ahmad Shah.

Turut hadir ialah Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman yang turut memimpin bacaan Yassin, Tahlil dan Doa Selamat, Ketua Polis Pahang, Datuk Abd Jalil Hassan, barisan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri dan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob.

Pada majlis itu, Al-Sultan Abdullah turut menunaikan Solat Maghrib yang diimamkan Imam 1, Mohd Khalil Mohd Zari dan solat hajat yang dipimpin oleh Imam Besar, Datuk Badli Shah Alauddin bagi mendoakan keselamatan dan kesejahteraan Seri Paduka serta memohon Malaysia dilindungi daripada musibah.

Seri Paduka yang berbaju Melayu hijau turut berkenan bertakbir raya bagi Hari Raya Aidiladha yang akan disambut umat Islam di Malaysia pada esok. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!