X

Kindly register in order to view this article
!

'The Mask Man' tumpas!

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor (IPK Selangor), Senior Asisten Komisioner Datuk Fadzil Ahmat (kanan) pada sidang media berkaitan Op Samun Dalam Rumah Bertopeng, Op Laras Provos dan Ops Covid-19 di IPK Selangor Seksyen 9 Shah Alam hari ini. - Foto Bernama
A
A

SHAH ALAM - Polis Selangor berjaya menumpaskan kumpulan samun 'The Mask Man', yang memakai topeng karakter 'Vendetta’ ketika melakukan jenayah, sekali gus menyelesaikan 48 kes samun di tiga negeri, Isnin lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat berkata, pihaknya turut menahan enam lelaki yang dipercayai ahli kumpulan itu berusia antara 27 hingga 31 tahun, menerusi beberapa tangkapan berasingan di Klang, Puchong, Selayang dan Shah Alam dalam tempoh 24 jam.

"Kumpulan ini menyasarkan pintu atau pagar rumah yang tidak ditutup sebelum suspek memanjat dan memasuki rumah tersebut dengan memakai topeng karakter 'Vendetta' serta mengacukan pistol atau parang.

"Ahli kumpulan ini sangat berbahaya kerana sanggup mencederakan mangsa selain sangat licik apabila menggunakan pelbagai jenis kenderaan untuk mengelak dikesan polis semasa melakukan jenayah," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Ahmad Fadzil berkata melalui tangkapan itu, pihaknya berjaya merampas pelbagai barangan termasuk sepucuk pistol jenis Taurus buatan Brazil, 16 peluru hidup, beberapa senjata tajam seperti parang serta sembilan buah kereta, termasuk sebuah daripadanya dilaporkan hilang di Klang.

Beliau berkata, dengan tangkapan ahli kumpulan itu, polis berjaya menyelesaikan 40 kes samun di sekitar Selangor, enam di Kuala Lumpur serta dua di Negeri Sembilan, membabitkan kerugian lebih RM1.5 juta.

Tambahnya, polis turut menyiasat sekiranya masih ada saki baki ahli kumpulan itu.

Kesemua suspek yang mempunyai rekod jenayah lampau itu direman dua hari sehingga hari ini untuk siasatan di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!