Syaidatul Afifah intai slot Kejuaraan Asia

Syaidatul Afifah
Syaidatul Afifah
A
A
A

PEMAIN wanita kebangsaan, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi berharap kembali pulih sepenuhnya bagi mengintai tempat dalam edisi ke-26 Kejohanan Tenpin Boling Asia di Hong Kong, yang dijadual berlangsung dari 15 hingga 25 Januari tahun depan.

Alet kelahiran Perak itu berkata, barisan kejurulatihan akan mengadakan pertandingan ujian bulanan bagi mengukur prestasi semasa setiap pemain susulan ketiadaan kejohanan antarabangsa tahun ini akibat penularan pandemik koronavirus (Covid-19).

"Saya kini sedang menjalani proses pemulihan di rumah setelah dimasukkan ke sebuah pusat perubatan swasta di Petaling Jaya pada pertengahan bulan ini akibat jangkitan kuman dalam paru-paru.

"Saya tidak pasti mengenai format pertandingan ujian berkenaan, namun saya difahamkan ia akan diadakan secara bulanan dari Ogos sehingga Disember ini, dengan hanya enam pemain lelaki dan wanita dipilih ke Kejohanan Asia,” katanya kepada Bernama hari ini.

Atlet berusia 29 tahun itu menjelaskan beliau meletakkan harapan tinggi memandangkan beliau tidak pernah terlepas daripada menyertai Kejohanan Asia sejak 2015.

Dalam pada itu, Syaidatul Afifah menyifatkan ketiadaan kejohanan antarabangsa tahun ini sebagai medan terbaik untuk pemain kebangsaan mengembalikan semula prestasi masing-masing setelah tidak dibenarkan menjalani latihan akibat penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lepas.

Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC) sebelum ini mengambil keputusan untuk membatalkan beberapa pertandingan termasuk Kejohanan Senior Masters Megalanes di Petaling Jaya dari 16 hingga 19 Julai, selain Kejohanan Terbuka Antarabangsa Malaysia ke-41 dari 22 hingga 28 November ini.

Pencapaian terbaik Syaidatul Afifah pada Kejohanan Asia adalah pada edisi 2015 di Bangkok, yang menyaksikan beliau meraih satu emas bersama seorang lagi pemain kebangsaan, Sin Lin Jane menerusi acara berpasangan wanita, selain satu gangsa dalam acara berpasukan. - Bernama

Artikel Berkaitan: