Zuraida tak bimbang surat tuntutan RM10 juta PKR

Zuraida
Zuraida
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin tidak bimbang berdepan dengan surat tuntutan daripada parti itu yang menuntut RM10 juta daripada beliau dan 18 lagi wakil rakyat PKR yang keluar parti.

Zuraida yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata dalam kesnya, beliau dipecat bukan keluar parti.

“... saya rasa, bagi rakan-rakan yang lain, ada klausa (dalam perlembagaan parti) yang boleh melindungi kita, jadi saya tidak bimbang.

“Justeru, teruskan dengan langkah itu Datuk Seri Anwar (Ibrahim), kalau anda perlukan wang teruskan saja hantar surat tuntutan tersebut, tapi saya tidak fikir anda akan dapat wang berkenaan,” katanya hari ini.

Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang berkata demikian kepada pemberita selepas melawat tapak cadangan pembinaan gelanggang futsal di Taman Bukit Mulia, Bukit Antarabangsa dekat sini.

Ditanya mengenai tempoh tujuh hari yang diberikan untuk kesemua wakil rakyat menjelaskan bayaran itu, Zuraida berkata: “Dia nak minta esok pun kami tak peduli.”

Semalam, Bendahari Agung PKR, Lee Chean Chung dilaporkan berkata, parti itu akan mengeluarkan surat tuntutan kepada kesemua 19 ahli Parlimen dan ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR yang telah keluar parti, menuntut setiap mereka membayar RM10 juta kepada parti.

Mereka termasuk Zuraida dan bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang juga Ahli Parlimen Gombak.

Artikel Berkaitan:

Chean Chung mendakwa RM10 juta itu adalah jumlah yang dipersetujui untuk dibayar oleh kumpulan terbabit jika mereka berpaling tadah dan menggunakan kerusi yang diwakili bagi kepentingan peribadi serta bertentangan dengan kepentingan parti.

Ahli Parlimen lain yang terlibat ialah Datuk Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), Datuk Kamarudin Jaffar (Bandar Tun Razak), Datuk Mansor Othman (Nibong Tebal), Datuk Rashid Hasnon (Batu Pahat), Datuk Seri Dr Santhara Kumar (Segamat), Ali Biju (Saratok), Jonathan Yasin (Ranau) dan Baru Bian (Selangau).

ADUN yang berkenaan pula ialah Dr Chong Fat Full (Pemanis), Datuk Muhammad Jailani Khamis (Rembia), Datuk Abdul Yunus Jamahri (Kuala Krau), Muhammad Hilman Idham (Gombak Setia), Azman Nasrudin (Lunas), Dr Robert Ling Kui Ee (Sidam), Haniza Mohamed Talha (Lembah Jaya), Daroyah Alwi (Sementa) dan Zulkifli Ibrahim (Sungai Aceh). - Bernama