Batal pas lawatan warga asing enggan bayar kos kuarantin

Khairul Dzaimee Daud
Khairul Dzaimee Daud
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Imigresen Malaysia akan membatalkan Pas Lawatan Jangka Panjang bagi warga asing yang enggan membayar kos kuarantin.

Ketua Pengarahnya, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, keengganan mereka membayar kos tersebut akan menjejaskan usaha kerajaan Malaysia untuk mengekang penularan koronavirus (Covid-19).

“Antara jenis pas yang terlibat ialah pas suami atau isteri kepada warganegara, Pas Lawatan Kerja Sementara, Pas Lawatan Ikhtisas, Pas Penggajian (ekspatriat), Pas ‘Malaysia My Second Home’ (MM2H) dan lain- lain kategori,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut menasihati semua warga asing dan rakyat tempatan mematuhi arahan dan peraturan semasa serta peka dengan pengumuman terkini oleh agensi kerajaan berhubung langkah-langkah pencegahan COVID-19.

“Mereka akan dikenakan tindakan undang-undang jika ingkar arahan atau gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan,” tegasnya.

Berkuat kuasa 24 Julai lepas, kerajaan mewajibkan semua rakyat tempatan yang pulang dari luar negara serta warga asing yang diberi kebenaran memasuki negara ini menjalani kuarantin 14 hari di pusat kuarantin yang ditetapkan serta perlu menanggung kos kuarantin.

Bagi warga asing, mereka dikehendaki menanggung sepenuhnya kos kuarantin berkenaan manakala rakyat tempatan pula perlu membayar kira-kira 44 peratus daripada kos tersebut. - Bernama

Artikel Berkaitan: