Golongan hidap gejala pernafasan disaran guna pelitup muka perubatan

Golongan yang menghidap atau mengalami gejala pernafasan disaran memakai pelitup muka perubatan atau “three ply surgical mask” sebagai langkah pencegahan terhadap jangkitan koronavirus (Covid-19).
Golongan yang menghidap atau mengalami gejala pernafasan disaran memakai pelitup muka perubatan atau “three ply surgical mask” sebagai langkah pencegahan terhadap jangkitan koronavirus (Covid-19).
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan menyarankan golongan yang menghidap atau mengalami gejala pernafasan memakai pelitup muka perubatan atau “three ply surgical mask” sebagai langkah pencegahan terhadap jangkitan koronavirus (Covid-19).

Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, golongan berisiko tinggi seperti warga emas dan penghidap kencing manis serta darah tinggi juga disaran menggunakan pelitup muka jenis sama, khususnya ketika berada di tempat yang menyukarkan penjarakan sosial.

Bagaimanapun pelitup muka tidak boleh dipakai oleh kanak-kanak yang berumur kurang daripada dua tahun dan mereka yang sukar bernafas atau individu yang tidak sedarkan diri serta individug kurang upaya atau yang tidak dapat menanggalkan pelitup muka tanpa bantuan, katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Adham berkata, bagi orang awam yang tidak tergolong dalam kelompok terbabit, mereka digalakkan memakai pelitup muka bukan perubatan ketika berada di tempat awam yang menyukarkan penjarakan sosial seperti pengangkutan awam, tempat kerja dan kedai runcit.

Menurutnya, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesyorkan pelitup muka bukan perubatan jenis fabrik atau kain dengan tiga lapisan yang terdiri daripada lapisan paling dalam yang hidrofilik iaitu bersifat menyerap air misalnya kapas atau campuran kapas.

Lapisan paling luar pula diperbuat daripada bahan hidrofobik iaitu bersifat menghindar penyerapan air misalnya polipropilena, poliester atau campurannya boleh mengehadkan pencemaran luar daripada menembusi masuk ke hidung dan mulut pemakai, manakala lapisan tengah hidrofobik diperbuat daripada bahan bukan tenunan sintetik seperti polipropilena atau lapisan kapas yang boleh meningkatkan penapisan atau menahan titisan cecair.

Beliau berkata, pelitup muka bukan perubatan jenis fabrik di pasaran yang tidak menepati ciri-ciri disarankan WHO boleh dipakai untuk kegunaan orang awam tetapi keberkesanannya mungkin berbeza bergantung pada jenis dan bilangan lapisan kain yang digunakan.

"Pelitup muka boleh digunakan sama ada untuk melindungi orang yang sihat daripada dijangkiti atau untuk mencegah orang yang dijangkiti daripada menjangkiti orang lain," katanya, menambah penggunaannya harus diamalkan bersama penjagaan kebersihan tangan dan penjarakan fizikal yang selamat.

Artikel Berkaitan:

Berkuat kuasa Sabtu ini (1 Ogos), pemakaian pelitup muka di tempat awam yang sesak adalah diwajibkan bagi membendung penularan jangkitan Covid-19 di negara ini. - Bernama