Suami mudah tersentuh selepas pembedahan buah pinggang : Dayangku Intan

Dayangku Intan - Foto Cipot Redzuan
Dayangku Intan - Foto Cipot Redzuan
A
A
A

PENYANYI popular era 80an, Dayangku Intan meluahkan rasa syukurnya apabila kesihatannya kembali pulih sepenuhnya selepas menjalani pembedahan pemindahan buah pinggang untuk suaminya, Rosman Yahil, pada 29 September lalu.

Malah kata penyanyi Semakin Rindu Semakin Sayang ini, selepas tiga bulan berehat dia kini kembali menjalani rutin hariannya seperti biasa termasuk melakukan persiapan untuk Konsert Retro di Istana Budaya (IB) pada 1 dan 2 Februari depan.

“Sebenarnya selepas dua minggu keluar hospital, saya dah rasa sihat dan boleh bergerak aktif buat kerja-kerja rumah seperti biasa.

“Kalau ikutkan doktor suruh saya berehat selama tiga hingga enam bulan, tetapi alhamdulillah saya memang rasa dah sihat sepenuhnya.

“Cuma sekarang ini saya kena jaga makan kerana selepas pembedahan berat badan saya tak boleh melebihi 60kg. Buah pinggang sebelah dah kosong, jadi kenalah jaga. Lain-lain semuanya macam biasa sahaja,” akuinya.

Dalam masa yang sama, Dayang atau nama sebenarnya Tengku Intan Tengku Abdul Hamid, 53, juga meluahkan rasa syukur apabila suaminya kini pulih sepenuhnya selepas menerima buah pinggang baharu daripadanya.

“Alhamdulillah semuanya berjalan lancar dan abang dah sihat sepenuhnya. Dia tak perlu lagi jalani dialisis, malah tidak lagi berkerusi roda sebagaimana sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

No Image Caption

“Cuma saya perasan selepas pembedahan, abang banyak berubah. Dia kini semakin rajin buat kerja-kerja rumah. Bangun pagi dah tengok dia menyapu rumah.

“Selain itu dia juga begitu mudah tersentuh sekarang. Kalau tengok cerita sedih, dia boleh mengalirkan air mata, sedangkan sebelum ini dia tidak begitu.

“Perubahan ini mencuri perhatian saya. Kadang-kadang saya sengaja rakam apa yang dia buat untuk tunjukkan pada anak-anak dan kami ketawa sama-sama,” katanya.

Menyentuh tentang penglibatannya dalam Konsert Retro yang membariskan penyanyi-penyanyi era 70an dan 80an, kata Dayang, dia sangat teruja menantikan konsert tersebut apatah lagi ia merupakan kali pertama buatnya beraksi di pentas IB.

“Alhamdulillah, sebaik sahaja pulih daripada pembedahan tempoh hari, saya mendapat tawaran daripada pihak Istana Budaya untuk menjaya Konsert Retro bersama barisan artis yang terlibat seperti Hail Amir, Uji Rashid, Jay Jay dan lain-lain.

“Memang saya teruja sangat apabila mendapat tawaran ini kerana ia akan menjadi pengalaman pertama saya beraksi di pentas berprestij ini.

“Semoga persembahan ini nanti akan membangkitkan kembali nostalgia lalu bersama peminat,” ujarnya kepada Sinar Harian.