Rugi RM17,000 gara-gara Love Scam

Ibu tunggal berputih mata kerugian RM17,000 gara-gara Love Scam.
Ibu tunggal berputih mata kerugian RM17,000 gara-gara Love Scam.
A
A
A

KEPALA BATAS - Seorang ibu tunggal berputih mata apabila kerugian RM17,000 gara-gara keterujaannya untuk menerima hadiah daripada teman lelakinya dari Paris, yang sebenarnya merupakan sindiket Love Scam, dalam kejadian di sini, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, wanita berusia 40 tahun itu mendakwa mula berkenalan dengan teman lelakinya menerusi laman sosial Facebook awal Disember tahun lepas sebelum mereka bercinta dan mangsa tidak sedar dirinya sudah terperangkap dengan sindiket penipuan.

"Teman lelaki itu turut melemparkan kata-kata manis termasuk mahu mengirimkan hadiah mengandungi mata wang asing, pakaian, barang kemas dan barangan kosmetik kepada wanita tersebut kononnya sebagai tanda sayang dan cinta.

"Wanita itu yang percaya dengan janji manis teman lelakinya kemudian dihubungi sebuah syarikat kurier untuk membuat penghantaran barangan berharga kononnya daripada teman lelakinya itu, namun perlu membayar kos penghantaran untuk melepaskan bungkusan sebanyak RM17,000," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, mangsa membuat empat transaksi ke dalam tiga akaun yang diberikan syarikat kurier tersebut dan hanya menyedari ditipu selepas sindiket itu memintanya membuat bayaran tambahan sebelum dia membuat laporan polis semalam.

Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mengesan sindiket serta pemilik akaun yang digunakan untuk memindahkan wang tersebut dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Dalam perkembangan lain, Noorzainy berkata dua lelaki yang hidup mewah dengan menjalankan kegiatan memproses dan menjual air ketum ditahan polis bersama 50 bungkusan air ketum dan lima kilogram (kg) daun ketum bernilai RM300 dalam serbuan di dua buah rumah di Kampung Setol, di sini, semalam.

Beliau berkata, sepasukan polis yang menjalankan Ops Tapis telah menyerbu rumah pertama pada jam 12 tengah hari dan menahan seorang lelaki berusia 34 tahun manakala serbuan di rumah kedua pihaknya menahan seorang lagi berumur 59 tahun.

Artikel Berkaitan:

"Polis turut merampas pelbagai peralatan untuk memproses air ketum termasuk tong ais untuk menyimpan sebelum menjual kepada pembeli," katanya, sambil menambah kedua-dua suspek terbabit dengan kegiatan itu sejak awal tahun ini dan menjualnya di sekitar kawasan Kepala Batas dengan harga RM5 sebungkus.

Menurutnya, dua lelaki yang tidak bekerja itu dipercayai mampu mengaut keuntungan sehingga ribuan ringgit setiap bulan hasil kegiatan berkenaan dan mereka kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952. - Bernama