Kolej matrikulasi dibuka Ogos, IPG pada September

 Ismail Sabri Yaakob
Ismail Sabri Yaakob
A
A
A

PUTRAJAYA - Proses pendaftaran berperingkat bagi kolej matrikulasi akan bermula dari 3 hingga 7 Ogos ini sementara Institut Pendidikan Guru (IPG) pula akan dibuka pada September.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia melibatkan 30,000 pelajar di 15 kampus manakala bagi IPG pula ia melibatkan 5,000 guru pelatih baharu dan 8,000 guru pelatih sedia ada.

"Proses pembelajaran pelajar matrikulasi akan bermula seminggu selepas sesi pendaftaran berlangsung," katanya pada sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), di sini, hari ini.

Mesyuarat Khas Menteri-menteri Mengenai Pelaksanaan PKP telah meneliti dan bersetuju dengan pembentangan oleh Kementerian Pendidikan berkenaan pembukaan semula kedua-dua institusi pendidikan itu, katanya.

Bagaimanapun, ia tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan yang dipersetujui termasuk penjarakan sosial serta keselamatan dan kebersihan.

Ditanya sama ada kerajaan bercadang melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan atau PKP Pentadbiran di Napoh, Kedah susulan peningkatan kes koronavirus (Covid-19) melibatkan kluster Sivagangga, Ismail Sabri berkata, kerajaan sedang memantau perkara itu dengan terperinci.

Beliau berkata, setakat hari ini, penutupan taman bimbingan kanak-kanak (tabika) dan taman asuhan kanak-kanak (taska) telah dilakukan supaya tiada jangkitan.

Namun, katanya, jika berlaku lagi penularan besar-besaran, Kementerian Kesihatan akan segera berbincang dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk tindakan selanjutnya termasuk penutupan di lokaliti atau kawasan tertentu.

Artikel Berkaitan:

Dilaporkan semalam, sebanyak 73 tabika dan tiga taska Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dalam Parlimen Kubang Pasu ditutup bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Mengenai sama ada kerajaan akan mempertimbangkan penutupan sekolah rendah susulan seorang murid tahun dua di daerah Inanam, Kota Kinabalu, disahkan positif Covid-19, Ismail Sabri berkata, Kementerian Pendidikan sedang meneliti perkara itu dan akan membuat keputusan dalam waktu terdekat.

Beliau berkata, keputusan yang akan diumumkan adalah sama ada membenarkan atau tidak pelajar tahun satu, dua dan tiga ke sekolah ataupun hanya pelajar yang mengambil peperiksaan dibenarkan ke sekolah.

Mengenai Task Force Operasi Pematuhan, Ismail Sabri berkata, PDRM menahan 213 individu atas kesalahan ingkar arahan PKPP semalam, dan daripada jumlah itu, 22 individu direman,18 lagi dijamin dan 173 individu dikenakan kompaun.

Sementara itu, beliau berkata PDRM juga telah membuat 62 sekatan jalan raya menerusi Operasi Benteng semalam dan menahan lima warga asing atas kesalahan imigresen. - Bernama