X

Kindly register in order to view this article
!

Kluster Sivagangga: Penguatkuasaan di Kubang Pasu dipertingkat

Muhammad Sanusi Md Nor
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan negeri Kedah mempertingkatkan penguatkuasaan dan pemantauan terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP), khususnya di daerah Kubang Pasu berikutan berlaku penularan kes koronavirus (Covid-19) di daerah itu yang melibatkan kluster Sivagangga.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, semua premis perniagaan juga diwajibkan menggunakan aplikasi My Sejahtera bagi memudahkan pengawasan dan proses pengesanan kontak terhadap individu yang pernah berada dekat dengan orang dikenal pasti positif Covid-19.

“Tulisan di buku hanyalah untuk mereka yang tidak memiliki telefon pintar, tapi pada masa ini saya yakin hampir semua pelanggan ada telefon pintar...kena guna My Sejahtera, tidak boleh elak lagi sebab dengan adanya kluster baharu ini, sangat penting kita patuhi SOP sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Negeri Khas Covid-19 Kedah di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Kerajaan negeri juga akan mewujudkan pusat kuarantin berdasarkan keperluan dan akan mengumumkan lokasi pusat-pusat berkenaan dalam tempoh terdekat memandangkan setakat ini terdapat enam kes positif Covid-19 melibatkan kluster Sivagangga.

“Kita risau dengan kuarantin sendiri di rumah sebab akan ada yang tidak patuh, mereka keluar ke sana ke sini walaupun ada gelang di tangan mereka, jadi kita putuskan perlu wujudkan pusat kuarantin,” katanya.

Muhammad Sanusi berkata, kerjasama semua pihak amat diperlukan bagi memastikan tiada lagi penularan wabak itu atau kluster baharu muncul di negeri ini, terutama pada musim perayaan ini.

Selasa lepas, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan terdapat kluster baharu dikenal pasti di Kedah iaitu kluster Sivagangga yang melibatkan seorang pemilik kedai makan, seorang ahli keluarganya dan empat pekerja kedai.

“Saya juga ingin mengambil kesempatan, sempena hari raya esok, nak mengingatkan semua pihak agar mematuhi SOP ibadah korban, seekor haiwan 20 orang sahaja dan kenduri tidak dibenarkan, lepas sembelih edarkan sahaja daging korban itu,” katanya. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!