X

Kindly register in order to view this article
!

Kebakaran maahad tahfiz tiada unsur khianat

Laporan sinar Harian hari ini. Anggota bomba menjalankan kerja-kerja pemeriksaan dan pemantauan di lokasi kebakaran.
A
A

PARIT - Kebakaran Maahad Tahfiz Al Quran Masjid Lama di Lambor Kanan, Seri Iskandar lewat malam tadi tidak membabitkan unsur khianat.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Barudin Wariso berkata, siasatan awal polis yang dijalankan di tempat kejadian tidak menemukan sebarang unsur jenayah.

"Setakat ini, kes tiada kaitan dengan sebarang unsur khianat mahupun jenayah.

"Siasatan lanjut akan dijalankan pasukan bomba bagi menentukan punca kebakaran," katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam kejadian sekitar jam 12.50 malam itu, 115 penghuni maahad terselamat selepas bangunan asrama lama yang dijadikan stor simpanan memuatkan barangan makanan mentah dan peralatan pelajar, terbakar.

Api yang marak dengan cepat disebabkan binaan kayu turut menyebabkan dua lagi blok berhampiran iaitu dewan dan bilik kuliah mengalami kerosakan kecil sekitar 5 ke 10 peratus.

Sementara itu, Exco Jawatankuasa Agama dan Penerangan Perak, Mohd Akmal Kamaruddin yang meninjau lokasi kebakaran berkata, kerajaan negeri akan menyediakan peruntukan khas berjumlah RM50,000 bagi kerja-kerja awal baik pulih maahad tahfiz terbabit.

Katanya, maahad itu ditubuhkan sejak 2008 lagi dengan jumlah keseluruhan pelajar seramai 160 orang, namun disebabkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini, pusat itu hanya dibenarkan menerima kemasukan 115 pelajar sahaja.

Mohd Akmal meninjau keadaan Maahad Tahfiz Al Quran Masjid Lama di Lambor Kanan, Seri Iskandar yang terbakar, lewat malam tadi.
Mohd Akmal meninjau keadaan Maahad Tahfiz Al Quran Masjid Lama di Lambor Kanan, Seri Iskandar yang terbakar, lewat malam tadi.

"Semakan kita mendapati pusat ini berdaftar dengan Jabatan Agma Islam Perak (JAIPk) dan kerana itulah dijadikan anak angkat Balai Bomba dan Penyelamat Seri Iskandar menerusi penubuhan skuad bomba tahfiz sejak 2017 lalu.

"Sekolah ini antara yang lama ditubuhkan di sini dan bangunan yang digunakan adalah masjid lama. Kerajaan Perak akan beri sumbangan awal RM50,000 yang akan dikreditkan terus kepada akaun maahad selewat-lewatnya dalam tempoh sebulan ini.

"Kita juga alu-alukan sumbangan orang ramai untuk bersama membantu membangunkan kembali sekolah ini," katanya.

Mudir maahad, Akbar Ali Mydin Ahmad Shah pula berkata, pengurusan maahad memang merancang membina sebuah bangunan asrama baru dengan kos RM500,000 lengkap dengan kemudahan dewan, namun dana terkumpul masih belum mencukupi.

Katanya, asrama lama telah dijadikan stor simpanan dan pelajar-pelajar ditempatkan tidur di masjid.

"Kita masih dalam proses mengumpul dana lagi, mungkin ada hikmahnya kejadian ini berlaku. Ramai yang tinggal sehelai sepinggang kerana tak sempat nak selamatkan apa-apa.

"Kita akan adakan perbincangan dan mungkin membenarkan pelajar pulang ke rumah masing-masing untuk beberapa hari sementara kerja-kerja pembersihan dibuat," katanya.

Mereka yang berhasrat menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian menerusi akaun Bank Islam, Maahad Tahfiz Al Quran Masjid Lama 08086020107395.

ARTIKEL BERKAITAN: Maahad tahfiz terbakar, 115 pelajar sempat selamatkan diri


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus