X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 06 Julai 2022

Pengorbanan rakyat bantu kejayaan kerajaan urus Covid-19

Muhyiddin menyerahkan tali lembu kepada Ayob sebagai gimik penyerahan lembu korban di Masjid Kampung Parit Zing, hari ini.- Foto Bernama
A
A

TANGKAK - [DIKEMAS KINI] Semangat dan pengorbanan rakyat Malaysia telah membantu kejayaan kerajaan dalam mengurus pelbagai masalah berkaitan dengan penularan wabak koronavirus (Covid-19), kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perdana Menteri berkata, dalam usaha menghadapi cabaran wabak Covid-19, rakyat sedia berkorban dengan mematuhi semua Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan termasuk penjarakan sosial selain mengelak daripada keluar dari rumah.

"Penting bagi kita untuk mengingati bahawa masalah Covid-19 masih belum dapat kita atasi... sehinggalah kita ketemukan vaksin penyakit ini, keadaan kita masih belum selamat lagi. Situasi kita sekarang terkawal tetapi masih ada peningkatan (jumlah jangkitan).

"Kita diiktiraf antara negara terbaik (menangani Covid-19 kes kematian akibat Covid-19) antara terendah di dunia... tetapi dalam kita hendak mencapai kejayaan dalam menangani penyakit ini maka pengorbanan itu adalah suatu yang wajib kita lakukan," katanya di Bukit Gambir di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Lembu Korban Hari Raya Aidiladha Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir di Masjid Jamek Kampung Parit Zing, Bukit Gambir, di sini.

Yang turut hadir, Pegawai Khas DUN Gambir, Ayob Bani.

Pada majlis itu sebanyak 32 ekor lembu sumbangan pelbagai pihak antaranya Yayasan Golf Amal Tan Sri Muhyiddin, Yayasan Al-Bukhari, Puncak Niaga, dan individu diserahkan oleh Muhyiddin kepada penduduk kampung, agensi kerajaan dan pejabat DUN.

Muhyiddin, yang juga Ahli Parlimen Pagoh dan ADUN Gambir berkata, Covid-19 juga membawa cabaran amat besar dalam mengurus ekonomi negara terutama bagi memastikan rakyat tidak terlalu terkesan.

Menurutnya, kerajaan tidak mempunyai pilihan selain membuka semula sektor ekonomi tetapi dalam keadaan normal baharu dengan hampir 90 peratus aktiviti ekonomi sudah kembali beroperasi.

"Tetapi cabaran ekonomi ini belum selesai dan ambil masa (untuk diselesaikan)... pekerja diberhentikan, pengangguran terjadi dan industri ini tidak dapat bergerak seperti sediakala. Namun kita jaga rakyat dengan sebaiknya," katanya.

Ketika mengakhiri ucapannya, Muhyiddin sempat memetik lirik daripada lagu 'Berkorban Apa Sahaja' daripada Tan Sri P Ramlee dalam menyeru semua pihak supaya sedia berkorban untuk menangani penularan Covid-19.

"Berkorban apa saja, harta atau pun nyawa, itulah kasih mesra, sejati dan mulia," katanya memetik lirik lagu itu. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!