Bimbing peladang muda

Ahmad (dua dari kiri) menunjukkan jagung manis yang dipetik di ladang jagung PPK Tanjung Ipoh.
Ahmad (dua dari kiri) menunjukkan jagung manis yang dipetik di ladang jagung PPK Tanjung Ipoh.
A
A
A

KUALA PILAH - Projek tanaman jagung manis melalui Skim Kredit Ladang Terselia (SKLT) yang dilaksanakan oleh Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Tanjung Ipoh akan menjadi perintis kepada PPK di seluruh negara.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 1, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, model yang dilaksanakan PPK Tanjung Ipoh ini mampu meningkatkan hasil pendapatan dalam kalangan peladang di samping melahirkan usahawan muda.

“SKLT merupakan antara model perancangan pengoperasian dan pemasaran hasil projek yang diuruskan oleh PPK yang mana projek ini untuk kita bangunkan tanah-tanah terbiar selain memberi minat kepada belia untuk sertai bidang pertanian.

“Dengan adanya hasil daripada tanaman ini kita dapat membantu pertumbuhan ekonomi negara dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara sekaligus mengurangkan apa juga import dan imbangan dagangan,” katanya dalam sidang akhbar ketika mengadakan lawatan kerja ke Projek Tanaman Jagung Manis Pertubuhan Peladang Kawasan Tanjung Ipoh, Kuala Pilah di sini semalam.

Hadir sama, Timbalan Menteri Kerja Raya merangkap Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Eddin Syazlee Shith; Ketua Pengarah LPP, Azulita Salim dan Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah PPK Tanjung Ipoh merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Menanti, Datuk Abd Samad Ibrahim.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kelebihan tanaman jagung manis di kawasan itu yang diusahakan oleh PPK Tanjung Ipoh mempunyai kawasan luas, ditanam secara berkelompok dan mempunyai pasaran tersendiri.

“Daripada 200 ekar tanaman jagung manis di sini, 95 ekar adalah di bawah SKLT melibatkan seramai 21 ahli peladang termasuk 15 usahawan muda,” katanya.

Terdahulu, Ahmad ketika membacakan teks ucapan Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, kementerian sentiasa memberi perhatian serius agar industri tanaman jagung ini terus berkembang.

Artikel Berkaitan:

“Saya amat menyokong usaha proaktif Pertubuhan Peladang di dalam memantau dan membimbing usahawan bagi memastikan bekalan jagung mendapat permintaan tinggi di dalam pasaran.

“Kementerian melalui Unit Agropreneur Muda dan Agrobank juga akan terus memberi bantuan dan kemudahan pembiayaan supaya lebih ramai pengusaha terutamanya anak-anak muda menceburi bidang ini.

“Projek ini boleh dijadikan sebagai sumber pendapatan kerana ianya mempunyai potensi sebagai produk utama dan hiliran negara,” katanya.