Polis Kelantan pantau pematuhan SOP Covid-19 sempena Aidiladha

Hasanuddin
Hasanuddin
A
A
A

KOTA BHARU - Polis Kelantan menubuhkan pasukan petugas di setiap jajahan di negeri ini bagi memantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) koronavirus (Covid-19) sempena sambutan Aidiladha.

Tanpa menyebut sebarang angka, Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, pasukan petugas berkenaan yang terdiri daripada Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan kereta peronda polis (MPV) itu akan mula melakukan rondaan bermula esok sepanjang sambutan perayaan tersebut.

"Pasukan petugas ini akan melakukan rondaan terutama ke pusat-pusat penyembelihan, kawasan kampung dan taman perumahan serta memantau individu yang menjalani kuarantin di rumah.

"Ini bagi memastikan masyarakat mematuhi SOP Covid-19 terutama penjarakan sosial dalam usaha kita bersama-sama memerangi wabak berkenaan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Amanat Ketua Polis Kelantan yang turut dihadiri Timbalan Ketua Polis Kelantan Senior Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah di Dewan Tan Sri Fuzi, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.

Pada majlis itu, seramai 22 pengamal media di Kelantan menerima Surat Penghargaan Ketua Polis Kelantan atas khidmat bakti menyalurkan maklumat berkaitan dalam usaha bersama memerangi jenayah.

Hasanuddin berkata, setakat ini hanya satu sekatan jalan raya dibuka di Jeli di bawah Op Benteng manakala sekatan jalan raya di Gua Musang telah ditutup bagi mengurangkan kesesakan berikutan kepulangan perantau sempena sambutan Aidiladha.

"Bermula semalam juga, Polis Kelantan telah melancarkan Op Lancar bagi memantau kesesakan trafik sepanjang musim perayaan ini walaupun tiada sekatan jalan raya dibuka.

"Saya jangka lebih 100,000 kenderaan akan memasuki Kelantan sepanjang musim perayaan ini kerana ramai yang mengambil kesempatan untuk pulang bercuti memandangkan mereka tidak dapat berbuat demikian ketika Aidilfitri yang lepas," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut melahirkan kebimbangan terdapat jangkitan baharu di Kelantan terutama bagi mereka yang tinggal di zon merah dan pulang ke zon hijau di negeri ini.

"Apa yang saya harapkan agar semua masyarakat terutama perantau dapat mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan dalam usaha kita mencegah penularan wabak ini di Kelantan," katanya. - Bernama