MFL kekalkan format Liga-M

Pemain Pahang giat menjalani latihan sebagai persiapan menjelang sepak mula Liga-M yang dijadualkan pada 26 Ogos depan. Foto: Pahang FA
Pemain Pahang giat menjalani latihan sebagai persiapan menjelang sepak mula Liga-M yang dijadualkan pada 26 Ogos depan. Foto: Pahang FA
A
A
A

PENTADBIR Liga Malaysia (Liga-M), Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) memutuskan mengekalkan format awal Liga Super dan Liga Premier 2020 pada musim depan setelah saingan kedua-dua liga diubah kepada format separuh liga (11 perlawanan) musim ini susulan penularan pandemik koronavirus (Covid-19).

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, dengan itu, dua pasukan terbawah Liga Super 2020 akan turun ke Liga Premier 2021 manakala dua pasukan teratas Liga Premier layak beraksi ke saingan Liga Super 2021.

Katanya, MFL turut melaksanakan pindaan sementara peraturan pertandingan Liga-M pada musim ini yang membenarkan pertukaran daripada tiga kepada lima pemain dalam setiap perlawanan.

“Bagi mengurangkan gangguan terhadap perjalanan perlawanan, setiap pasukan diberikan maksimum tiga peluang pertukaran semasa perlawanan, dan pertukaran pemain juga dibenarkan semasa rehat separuh masa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Ab Ghani memaklumkan mana-mana pasukan dibenarkan menukar pemain yang tidak digunakan sepanjang tempoh sebenar perlawanan (90 minit) sewaktu masa tambahan sesuatu perlawanan.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan saingan Liga-M pada musim ini akan kembali bersambung dari 26 Ogos hingga 23 September ini yang melibatkan baki tujuh perlawanan.

Katanya, jadual perlawanan berkenaan dikeluarkan MFL berdasarkan beberapa faktor, termasuk memberi peluang kepada pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe membuat persiapan rapi bagi menghadapi baki tiga perlawanan Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada Oktober dan November ini.

Selain itu, penglibatan Johor Darul Ta'zim (JDT) yang akan meneruskan saingan Liga Juara-Juara Asia dari 17 Oktober hingga 1 November ini turut diambil kira oleh MFL.

Artikel Berkaitan:

Ab Ghani berkata, MFL juga sedang memantau situasi Covid-19 di Sabah dan Sarawak, dan mereka akan membuat pindaan perlawanan melibatkan Sabah, Sarawak United FC dan Kuching FA sekiranya perlu.

Baki tujuh perlawanan Liga Super dan Premier bakal diadakan tanpa kehadiran penonton bagi mematuhi prosedur operasi standard ditetapkan pihak berkuasa.

Sebelum itu, saingan dua perlawanan Liga-M yang tertunda melibatkan aksi Liga Super antara Petaling Jaya City FC dan Terengganu FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, dan pertemuan Liga Premier melibatkan UKM FC dan Kelantan di Stadium Majlis Perbandaran Selayang akan berlangsung pada 22 Ogos ini.